OTTAWA, 18 OGOS – Ribuan orang melarikan diri daripada kebakaran hutan yang melanda salah sebuah bandar terbesar di utara Kanada kelmarin, sementara konvoi menuju ke selatan untuk berlindung di satu-satunya lebuh raya terbuka dan penerbangan pemindahan berlepas dari lapangan terbang.
Perintah untuk mengosongkan Yellowknife di Wilayah Barat Laut menandakan peristiwa terbaharu dalam musim panas yang teruk bagi kebakaran hutan di Kanada.
Lebih 20,000 penduduk ibu negeri wilayah itu diberi masa sehingga tengah hari Jumaat untuk meninggalkan kawasan tersebut.
Anggota kecemasan sedang membina penghadang api, memasang paip penyembur air dan meriam air serta meletakkan bahan kalis api dalam usaha untuk menghalang kebakaran daripada sampai ke bandar dalam beberapa hari akan datang, kata pegawai.
Angin barat laut dalam tempoh dua hari akan meniup api “ke arah yang tidak diinginkan,” kata pegawai maklumat kebakaran Northwest Territories, Mike Westwick.
Mengikut arahan pemindahan baru-baru ini, Tiffany Champagne merupakan salah seorang daripada ramai yang bersesak-sesak di lapangan terbang di Yellowknife menunggu penerbangan yang pertama berlepas pada pukul 1 petang.
“Saya menghidap asma dan asap kebakaran menjadikannya semakin sukar untuk melakukan apa-apa,” Champagne, memakai topeng muka, memberitahu penyiar awam CBC.
Syarikat penerbangan WestJet dan Air Canada mengumumkan mereka telah menambah penerbangan keluar dari bandar.
Sehingga kelmarin, lebih daripada 1,000 kebakaran hutan sedang melanda di Kanada, termasuk kira-kira 230 di Wilayah Barat Laut, di mana kawasan seluas lebih daripada 8,100 batu persegi telah terbakar. – AFP
