VANCOUVER, 7 JULAI — Kebakaran hutan yang melanda di seluruh Kanada telah pun memecahkan rekod bagi jumlah kawasan yang terbakar, bilangan orang yang terpaksa berpindah dari rumah mereka dan kos untuk memadam kebakaran, di mana musim kebakaran baru separuh tamat, kata pegawai kelmarin.
“Adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa musim kebakaran 2023 sedang dan akan terus memecahkan rekod dalam beberapa cara,” kata Michael Norton, ketua pengarah, Pusat Perhutanan Utara, Perkhidmatan Hutan Kanada, semasa taklimat.
Seorang pakar kesihatan juga memberi amaran bahawa asap daripada kebakaran boleh menyebabkan masalah kesihatan bagi penduduk yang tinggal di Kanada dan Amerika Syarikat.
“Apabila sejumlah besar asap keluar di udara, dan asap tersebut sampai ke kawasan berpenduduk, akan ada kesan kesihatan,” kata Ryan Allen, seorang profesor sains kesihatan di Universiti Simon Fraser di Burnaby, British Columbia.
Norton berkata cuaca panas dan keadaan kering di seluruh Kanada menunjukkan potensi aktiviti kebakaran yang lebih tinggi berbanding biasa hingga Julai dan Ogos.
“Kemarau adalah faktor penyumbang utama yang menjejaskan sebahagian daripada semua wilayah dan jajahan, yang semakin teruk di beberapa kawasan,” katanya.
“Apabila ditambah dengan ramalan untuk suhu melebihi normal yang berterusan di sebahagian besar negara, adalah dijangkakan bahawa banyak kawasan di Kanada akan terus mengalami aktiviti kebakaran melebihi biasa.”
Setakat minggu ini, terdapat 639 kebakaran aktif di Kanada dengan 351 daripadanya di luar kawalan. Setakat tahun ini, terdapat 3,412 kebakaran, jauh melebihi purata 10 tahun sebanyak 2,751, kata Norton. – AP