OTTAWA, 31 JULAI – Beratus-ratus orang di barat Kanada telah diarah berpindah berikutan kebakaran hutan luar kawalan yang merentasi sempadan Kanada-AS, lapor media kelmarin.
Daerah Serantau Okanagan-Similkameen dan bandar Osoyoos mengeluarkan perintah pengosongan pada Sabtu petang bagi 732 hartanah di dalam dan sekitar Osoyoos, 400 kilometer (km) timur Vancouver, menurut laporan. Kebakaran hutan, yang berpunca dari Washington, barat laut AS, membakar kira-kira 4km dari kawasan Osoyoos di pedalaman selatan British Columbia.
Di sebelah sempadan Kanada, kebakaran telah merebak sehingga 885 hektar pada pagi Ahad, manakala di sebelah AS, kebakaran telah membakar lebih daripada 4,000 hektar, kata pegawai kebakaran hutan negeri Washington.
Lebih 2,000 hartanah di Osoyoos barat diletakkan dalam amaran berpindah. Amaran pemindahan bermakna penduduk perlu bersedia untuk mengosongkan rumah mereka, manakala perintah pemindahan bermakna penduduk perlu keluar serta merta, kata laporan itu. – Bernama