MADRID, 19 MEI – Anggota bomba yang disokong oleh askar sibuk memerangi kebakaran hutan di barat Sepanyol hari ini yang telah memaksa ratusan orang berpindah dari kampung berdekatan, kata pegawai.
Kebakaran, yang berlaku pada Rabu lalu berhampiran perkampungan Pinofranqueado di wilayah Extremadura yang penduduknya sangat sedikit, adalah ‘disengajakan’, kata menteri pertanian wilayah itu, Begona Garcia kepada pemberita.
Sekurang-kurangnya 550 orang dari beberapa kampung telah dipindahkan kerana risiko kebakaran, kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Sepanyol dalam satu kenyataan.
Usaha memadamkan kebakaran itu “berhadapan kesukaran, bernasib kurangbaik, terutamanya disebabkan oleh angin kencang,” tambah kenyataan itu.
Lebih 275 profesional yang disokong oleh 14 pesawat air sedang berusaha untuk memadamkan api, kata kerajaan wilayah tersebut.
Pasukan pemadam kebakaran terdiri daripada kira-kira 165 askar dari unit kecemasan tentera Sepanyol UME.
“Terdapat tiupan angin yang sangat kuat, yang menjadikannya sangat sukar untuk memadamkan api,” kata komander UME, David Barona kepada televisyen awam TVE.
Beliau menganggarkan kebakaran setakat ini telah memusnahkan sehingga 1,500 hektar kawasan tanah. – AFP