BANGKOK, 21 FEB – Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM) Thailand mendedahkan kebakaran hutan yang tercetus di Laem Krating, Phuket, semalam berjaya dipadamkan sepenuhnya, namun kejadian itu menjejaskan kualiti udara di Thailand.
Penasihat DDPM, Jirayu Huangtrakul, berkata kebakaran yang berlaku pada jam 8 semalam itu meliputi kawasan kira-kira 1.6 hektar dan tindakan pantas pasukan negeri memastikan api dapat dikawal sepenuhnya pagi ini.
Beliau turut menggesa pihak bomba semua kawasan agar terus berwaspada dan mengambil tindakan segera bagi mengawal sebarang kebakaran baharu yang mungkin berlaku.
“Jabatan Kawalan Pencemaran melaporkan kualiti udara di beberapa kawasan terus merosot setakat 7 pagi ini. Bangkok, kawasan sekitarnya serta sebahagian wilayah tengah termasuk Singburi dan Ang Thong mencatatkan paras habuk dalam zon jingga, menunjukkan kualiti udara tidak sihat.
“Situasi ini selaras dengan ramalan yang menjangkakan keadaan bertambah buruk dari 21 hingga 23 Februari sebelum dijangka bertambah baik mulai 24 Februari,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi kerajaan Thailand hari ini.
Bagaimanapun, Jirayu berkata kualiti udara di wilayah utara menunjukkan tanda-tanda penambahbaikan dengan tiada kawasan berada dalam zon merah. Namun, beberapa wilayah seperti Lampang, Phitsanulok, Nan, Chiang Rai dan Tak masih berada dalam zon jingga.
“Situasi ini perlu dipantau dengan teliti di Bangkok dan kawasan sekitarnya. Paras habuk dijangka meningkat semula hujung minggu ini, tetapi angin timur laut yang diramal bertiup pada Isnin, 24 Februari, dijangka membawa kelegaan ketara. Bagaimanapun, peningkatan semula paras habuk boleh berlaku sekitar 27 hingga 28 Februari,” katanya.
Sementara itu, katanya Jabatan Meteorologi melaporkan tahap kelembapan yang berbeza di wilayah utara, tengah dan timur dengan hujan bertaburan di bahagian bawah Utara serta beberapa kawasan di Selatan. – Bernama
