PARIS, 21 MEI – Hutan bersamaan saiz 18 buah padang bola sepak dimusnahkan setiap hari akibat kebakaran pada tahun lepas sebahagian besarnya berpunca daripada perubahan iklim, lapor penyelidik hari ini.
Jumlah itu bermaksud dunia kehilangan 67,000 kilometer persegi hutan tropika primer yang berharga, kawasan dua kali ganda saiz Belgium atau Taiwan. Kerugian adalah 80 peratus lebih tinggi daripada 2023, menurut kumpulan pemikir, Global Forest Watch.
“Tahap kemusnahan hutan ini tidak pernah berlaku sebelum ini dalam tempoh lebih daripada 20 tahun,” kata pengarah bersamanya, Elizabeth Goldman, dalam taklimat. “Ini adalah amaran tinggi peringkat global,” tambahnya.
Kebakaran hutan bertanggungjawab terhadap hampir separuh daripada kerugian itu, mengatasi buat kali pertama pertanian sebagai pemacu utama kemusnahan.
Kehilangan litupan pokok pada tahun 2024 akibat penebangan hutan dan kebakaran, disengajakan atau tidak sengaja menjana lebih daripada tiga bilion tan pencemaran karbon dioksida (CO2), melebihi pelepasan India daripada penggunaan bahan api fosil dalam tempoh yang sama.
Hutan tropika, yang mempunyai kepekatan biodiversiti tertinggi, adalah yang paling terancam daripada mana-mana biom hutan di bumi ini.
Ia juga berperanan menyimpan CO2, membantu menghalang suhu global daripada meningkat lebih cepat.
Kebakaran hutan adalah punca dan kesan kepada perubahan iklim, menyebabkan berbilion tan CO2 terdedah ke atmosfera yang seterusnya mempercepatkan pemanasan dan kebakaran yang membawa kepada kemusnahan. – AFP
