Saturday, February 8, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran hutan semakin memburuk

    ATHENS, GREECE, 21 OGOS – Kebakaran hutan besar semakin memburuk di Greece dan di salah sebuah kepulauan Canary di Sepanyol hari ini, dengan keadaan panas, kering dan berangin menghalang usaha ratusan anggota bomba untuk mengawal kebakaran.

    Pegawai Kesatuan Eropah (EU) menyalahkan perubahan iklim yang semakin kerap dan intensiti kebakaran hutan di Eropah, dan menyatakan bahawa tahun 2022 adalah tahun kedua terburuk bagi kerosakan hutan selepas 2017.

    Di Greece, pihak berkuasa mengarahkan dua buah perkampungan untuk dipindahkan di tengah wilayah Viotia, kira-kira 100 kilometer barat laut Athens, selepas kebakaran hutan tercetus pada pagi kelmarin. Pengawal pantai telah mengerahkan dua buah bot peronda dan beberapa bot nelayan serta kapal persendirian untuk bersiap sedia sekiranya memerlukan pemindahan melalui laut.

    Di timur laut negara itu yang bersempadan dengan Turkiye, angin kuat memarakkan api di beberapa buah kawasan bagi hari ketiga, memusnahkan hutan dan kawasan ternakan berhampiran bandar Alexandroupolis.

    Beberapa buah rumah turut musnah pada hujung minggu. 13 buah perkampungan telah diarah untuk berpindah, sementara lebih 200 orang anggota bomba, dibantu oleh 16 buah pesawat dan tujuh buah helikopter, sukarelawan dan pasukan tentera berusaha mengawal kebakaran, menurut jurucakap kerajaan, Pavlos Marinakis.

    Cyprus juga menghantar dua buah pesawat untuk membantu memadamkan kebakaran di Alexandroupolis, termasuk empat orang kru dan lima kakitangan bantuan.

    Greece mengalami kemusnahan hutan setiap musim panas, yang menurut pegawai ia diburukkan oleh perubahan iklim.

    Kebakaran hutan paling teruk di Greece adalah pada tahun 2018 yang meragut 104 jiwa, di sebuah resort tepi laut berhampiran Athens, di mana penduduk tidak diberikan amaran untuk berpindah. – AP

    Penduduk tempatan cuba menghampiri rumah mereka di perkampungan Benijos ketika kebakaran semakin merebak. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda