Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Kebakaran hutan Sepanyol merebak ke hutan simpan

    MADRID, 19 OGOS – Kebakaran besar di timur Sepanyol yang memusnahkan kawasan yang luas kini merebak dengan pantas selepas kebakaran kembali berlaku walaupun hujan turun dengan lebat, manakala satu lagi kebakaran besar dilaporkan di hutan simpan berdekatan, kata pegawai kerajaan setempat.

    Tahun ini, Sepanyol menyaksikan hampir 400 kebakaran hutan berikutan keadaan cuaca gelombang panas dan musim kemarau yang panjang, memusnahkan lebih 283,000 hektar tanah iaitu lebih tiga kali ganda jumlah kawasan yang musnah pada tahun lepas.

    Sementara itu minggu lalu, ratusan anggota bomba telah berusaha memadam dua kebakaran hutan besar yang berlaku di wilayah Valencia, ketika hujan lebat meningkatkan harapan kebakaran dapat dikawal pada Khamis, tetapi angin kencang telah menjadikannya sangat agresif, menurut ketua hakim kerajaan wilayah Valencia. Kira-kira 35 pesawat telah dikerahkan ketika kebakaran memasuki hari kelima.

    “Ia adalah kebakaran yang sangat besar dengan perimeter menjangkau lebih daripada 120 kilometer, oleh itu anggota bomba telah menggunakan semua kaedah yang ada untuk mengawal kebakaran itu,” kata salah seorang ketua bomba wilayah setempat, Mariano Hernandez.

    Awal hari ini, satu lagi kebakaran berlaku di Olocau, di dalam taman Sierra Calderona, kira-kira 40 kilometer di tenggara Bejis, kata perkhidmatan kecemasan. Perkhidmatan itu menambah bahawa penduduk tempatan telah “terkurung di rumah mereka sebagai langkah pencegahan.”

    Setakat tahun ini, Sepanyol merekodkan 391 kebakaran hutan, lapor Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah. – AP/AFP

    Kebakaran hutan berhampiran Alcublas, timur Sepanyol, 18 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...