Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran hutan sukar dikawal akibat angin kencang

    ANKARA, 30 JUN – Pasukan bomba di barat Turkiye hari ini bertungkus-lumus melawan tiupan angin kencang dalam usaha mengawal kebakaran hutan besar yang sedang marak di kawasan pantai di wilayah Izmir, menurut seorang menteri.

    Kebakaran itu bermula sekitar tengah hari kelmarin di daerah Seferihisar, kira-kira 50 kilometer di barat daya bandar peranginan Izmir dan marak akibat tiupan angin kencang yang mencecah sehingga 120 kilometer sejam.

    Sekitar 20 buah rumah penduduk yang telah diarah untuk dikosongkan telah musnah dijilat api, dengan hanya dinding rumah yang tinggal, menurut rakaman saluran swasta NTV.

    “Kelajuan angin telah berkurangan tetapi ia mungkin meningkat semula. Ia mencecah 65 kilometer sejam sepanjang malam, yang menyukarkan usaha memadam, namun pada waktu subuh pasukan pemadaman udara telah menyambung semula tugas mereka,” kata Menteri Pertanian dan Perhutanan, Ibrahim Yumakli kepada wartawan.

    Dia berkata lebih 1,000 anggota telah dikerah untuk memadam kebakaran itu bersama empat pesawat, 14 helikopter dan 106 jentera bomba.

    Empat buah kampung dan dua kawasan kejiranan telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, manakala 21 orang mengalami kecederaan ringan akibat terhidu asap atau sebab-sebab lain berkaitan kebakaran.

    Yumakli berkata anggota bomba telah bergelut memadam 77 kebakaran yang tercetus semalam, dipacu oleh ‘angin yang sangat kencang’ sehingga memaksa operasi udara di kawasan Izmir dihentikan kerana ‘risiko nahas’.

    Daripada jumlah itu, hanya satu pertiga berlaku di kawasan hutan, katanya.

    Sejak 1 Jun, pasukan bomba di seluruh Turkiye telah menangani 1,459 kebakaran, dengan 569 berlaku di kawasan hutan dan 890 di lokasi lain, tambahnya.

    Lapangan terbang Izmir, yang menangguhkan penerbangan buat sementara waktu kelmarin, telah menyambung semula operasinya, menurut laporan media tempatan. – AFP

    Kebakaran tercetus antara daerah Seferihisar dan Menderes di Izmir, barat Turkiye. – Turkish Minute
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda