MORIOKA, 3 MAC – Kebakaran hutan besar di timur laut Jepun terus merebak kelmarin dengan lebih 2,100 hektar musnah sejak minggu lepas, meningkatkan ancaman terhadap kediaman penduduk.
Kebakaran di Ofunato, Wilayah Iwate memaksa penduduk berpindah sejak ia tercetus pada Rabu sebelum merebak ke kawasan lebih luas mengunjur ke pantai Pasifik, lapor agensi berita Kyodo berdasarkan maklumat daripada kerajaan tempatan.
Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba berjanji dalam sesi parlimen untuk, “menggerakkan sepenuhnya keupayaan pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Diri (SDF) bagi mengelakkan kediaman penduduk terjejas.”
Anggota bomba dari seluruh negara dan pesawat SDF terus berusaha memadamkan kebakaran selepas berjaya menghalang api daripada memasuki kawasan kediaman di Ofunato pada Ahad.
Menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana, kebakaran hutan ini adalah yang terbesar di Jepun sejak penghujung 1980-an. – Bernama/Kyodo
