SUSANVILLE, AMERIKA SYARIKAT, 19 OGOS – Kebakaran hutan di luar ibu negeri California sejak beberapa hari lalu kini merebak ke kawasan seluas lebih 21,000 hektar.
Sekurang-kurangnya dua orang terpaksa dikejarkan ke hospital ketika ‘Caldor Fire’ memusnahkan sebuah bandar kecil sekitar 80 kilometer dari Sacramento.
Hutan Negara Eldorado memaklumkan ribuan penduduk telah diarahkan supaya mencari tempat selamat dengan api semakin marak yang belum dapat dikawal.
Akhbar Sacramento Bee melaporkan Ketua Jabatan Bomba, Thom Porter mengingatkan orang ramai supaya berjaga-jaga dengan sebarang tanda amaran dan bersedia keluar dari kediaman masing-masing apabila diarahkan.
“Kami mahu anda keluar dari kawasan ini supaya dapat melindungi rumah daripada kebakaran,” katanya.
Kebakaran Caldor yang bermula Sabtu lalu semakin marak dan merebak lapan kali ganda dalam tempoh 24 jam.
Kejadian itu bertambah sukar apabila angin kencang menyebabkan api semakin marak, sekali gus menyukarkan usaha memadam kebakaran.
Ia berpunca daripada perubahan iklim buatan manusia mengubah pola cuaca dan membawa kemarau melampau ke rantau itu. – AFP
