Saturday, February 8, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran hutan tidak terkawal paksa penduduk tinggalkan rumah

    MELBOURNE, 26 DIS – Pihak berkuasa Australia hari ini telah mengarahkan penduduk di puluhan komuniti luar bandar supaya segera meninggalkan kediaman mereka susulan kebakaran hutan yang tidak terkawal di sebuah taman negara.

    Seramai 600 anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran di Taman Negara Grampians, 240 kilometer di barat Melbourne, menurut jurucakap perkhidmatan kecemasan negeri Victoria.

    Kebakaran yang berlarutan lebih seminggu itu berlaku dalam cuaca panas dan berangin, memusnahkan 55,000 hektar kawasan hutan, iaitu kira-kira satu pertiga daripada taman negara tersebut. Bagaimanapun, setakat ini, tiada laporan kematian atau kemusnahan rumah.

    Perkhidmatan kecemasan negeri memberi amaran kepada penduduk di lebih 24 komuniti luar bandar, yang kebanyakannya kecil, supaya segera meninggalkan kediaman mereka.

    Jumlah penduduk di kawasan terbabit dianggarkan antara serendah enam hingga beberapa ratus orang sahaja.

    Penduduk di beberapa komuniti lain diarah berlindung di dalam rumah kerana keadaan di luar dianggap tidak selamat.

    Jurucakap Pusat Kawalan Negeri Victoria, Luke Hegarty, berkata arah angin yang berubah-ubah dijangka menyukarkan tugas pasukan bomba sepanjang hari.

    “Kami menjangkakan angin kencang dan arah angin yang berubah-ubah akan menjadi cabaran utama dalam beberapa jam akan datang,” katanya dalam kemas kini pada waktu petang. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda