ISTANBUL, 25 JULAI — Beberapa kebakaran hutan baharu dilaporkan melanda pantai Mediterranean Turkiye hari ini, mendorong kerajaan mengisytiharkan dua wilayah barat sebagai zon bencana.
Rakaman TV menunjukkan asap tebal dan api marak berhampiran bangunan pangsapuri bertingkat tinggi di Antalya, destinasi tumpuan pelancong tempatan dan asing pada musim panas.
Menurut agensi berita DHA, penduduk terpaksa dipindahkan dari pusat bandar serta daerah Aksu selepas kebakaran mula merebak ke kawasan perumahan. Usaha memadamkan api berdepan cabaran besar berikutan tiupan angin kencang yang turut menyebabkan penutupan jalan pesisir utama.
Di Manavgat pula, rumah penduduk turut diancam api. Penduduk setempat dilihat berganding bahu membantu anggota bomba menggunakan baldi dan hos air bagi mengawal kebakaran.
Beberapa helikopter dan pesawat pengebom air digerakkan, selain meriam air milik polis dan lori tangki pihak berkuasa tempatan turut digunakan.
Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya memaklumkan wilayah Izmir dan Bilecik kini diisytiharkan sebagai ‘zon bencana yang memberi kesan kepada kehidupan awam’ iaitu satu tahap di bawah status kecemasan yang paling serius. – AP
