NEW DELHI, 13 JULAI – Satu kebakaran besar melibatkan sebuah kereta api kargo yang membawa muatan minyak mentah berlaku di negeri Tamil Nadu, selatan India, hari ini, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, lapor Xinhua yang memetik kenyataan polis.
Insiden itu mengakibatkan gangguan perkhidmatan kereta api di Chennai, ibu negeri Tamil Nadu.
Southern Railway dalam kenyataan memaklumkan beberapa perkhidmatan kereta api yang dijadualkan berlepas dari Chennai terpaksa dibatalkan, manakala lima lagi diarahkan menggunakan laluan alternatif.
Kebakaran dilaporkan tercetus ketika kereta api kargo yang terdiri daripada 45 gerabak itu sedang melalui daerah Tiruvallur, kira-kira 45 kilometer di barat Chennai. “Pagi ini, sebuah kereta api kargo dari Ennore ke Jolarpettai yang membawa minyak mentah terbakar ketika melalui laluan Tiruvallur-Egattur.
“Laporan awal mendapati empat gerabak musnah sepenuhnya dalam kebakaran, dan api turut merebak ke beberapa gerabak lain,” kata seorang pegawai polis.
Pasukan bomba dikerah ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran, manakala rakaman televisyen menunjukkan api marak dengan kepulan asap hitam tebal menjulang ke langit.
Anggota Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) turut dikerahkan bagi membantu operasi menyelamat dan pemulihan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa turut memindahkan penduduk yang tinggal berhampiran landasan.
Punca kejadian masih dalam siasatan, namun polis mengesyaki kebakaran mungkin berpunca daripada dua gerabak yang tergelincir dari landasan. – Bernama


