Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Satu lagi insiden kebakaran kereta telah dilaporkan berlaku di jalan raya kawasan Kampung Jerudong, pagi kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini, dalam insiden itu, api besar membakar keseluruhan bahagian enjin sebuah kereta di atas jalan raya semasa dalam perjalanan.
Mangsa sempat keluar dari kereta tersebut dan tidak mendapat sebarang kecederaan.
Sembilan orang anggota dari Balai Bomba Jerudong Cawangan Operasi ‘F’ yang diketuai oleh ASO Metusin bin Hj Menudin telah dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 8:20 pagi.
Anggota bomba segera memakai alat pernafasan dan mengeluarkan satu aliran hos untuk memadamkan kebakaran tersebut dan api dapat dipadamkan keseluruhannya dalam masa 3 minit dengan punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.
Sehubungan itu, JBP terus menyarankan orang ramai supaya sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan
pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.
Di samping itu, sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar dan kebakaran.
