Kebakaran kian marak di California

CHICO, 26 JULAI – Ribuan anggota bomba Amerika Syarikat (AS) sedang bergelut untuk memadamkan kebakaran di California yang kian marak dan besar sehingga ia mampu menghasilkan sistem cuacanya sendiri.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa memberi amaran keadaan akan bertambah buruk hari ini.

Nyalaan api menjadi semakin besar, melepaskan kepulan asap yang membentuk awan dan mampu menghasilkan petir dan angin kuat.

Keadaan itu diibaratkan sebagai bahan api yang boleh memarakkan lagi kebakaran. Sekitar 5,400 anggota bomba sedang berhempas pulas untuk memadamkan kejadian yang dianggap sebagai ‘neraka dunia’.

“Ia boleh menjadi hari mencabar esok. Sekiranya awan menjadi lebih tebal, ia cukup menghasilkan petir,” tegas ahli meteorologi yang ditugaskan di kawasan itu, Julia Ruthford.

Kebakaran yang digelar Dixie Fire mula marak di hutan yang terletak di utara California sejak pertengahan bulan ini.

Ia adalah sebahagian krisis iklim yang mengakibatkan panas terik dan kekeringan dahsyat.

Jurucakap pasukan bomba, Rick Carhart, berkata anggotanya terpaksa bergerak di sepanjang lereng yang curam dengan menaiki kereta api kerana berdepan kesukaran untuk menyembur air di kawasan yang tidak dapat dilalui. – AFP

Kenderaan yang terbakar di satu tapak semasa kebakaran Dixie di kawasan Indian Falls di Plumas County pada 25 Julai 2021. – AFP