BUENOS AIRES, 12 FEB – Kebakaran hutan telah memusnahkan sehingga 250,000 hektar tanah di timur laut Argentina sejak Januari, kata pegawai tempatan kelmarin, ketika anggota bomba terus bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di wilayah selatan Patagonia yang terpencil.
Kebakaran di wilayah timur laut Corrientes telah memusnahkan kawasan seluas Pulau Vancouver yang terdiri daripada ladang pertanian dan hutan pinus, menurut angka yang diberikan oleh Persatuan Komuniti Luar Bandar Corrientes.
Seorang guru berusia 30 tahun meninggal dunia akibat melecur yang dialami pada 4 Februari ketika cuba menghentikan api yang melanda ladang bapanya di kampung Mariano I. Loza, kata datuk bandar tempatan pada hujung minggu.
Kawasan tersebut dilanda kemarau dan panas yang melampau, dengan suhu mencapai 40 darjah Celsius pada hari-hari kebelakangan ini. Greenpeace bagaimanapun turut menyalahkan penebangan hutan haram.
Patagonia, sebuah wilayah yang terkenal dengan puncak Andes yang berbatu dan padang rumput yang luas, kini sedang menghadapi musim kebakaran hutan terburuk dalam tiga dekad, menurut Greenpeace Argentina.

Kebakaran terbesar kini berlaku di Taman Negara Lanin, sekitar 40 kilometer (25 batu) di timur laut bandar San Martin de los Andes.
Lebih jauh ke selatan, kebakaran besar masih berkembang di bandar pelancongan El Bolson, yang terletak di lembah yang dipenuhi kebun buah, di mana seorang lelaki berusia 80 tahun meninggal dunia pada awal Februari akibat menghidu asap.
“Kami keletihan,” kata Ketua Bomba bandar tersebut, Alejandro Namor, kepada AFP kelmarin.
Lebih 120 rumah telah musnah dalam kebakaran sepanjang dua minggu lalu dan seribu keluarga telah dipindahkan. Pihak berkuasa mengesyaki pembakaran sengaja.
Dalam satu temu bual dengan radio AM 1350, Namor berkata kawasan perumahan kini berada di luar bahaya tetapi memadamkan api di kawasan hutan mungkin mengambil masa sehingga Mac atau April. – AFP