SUBANG JAYA, 1 APR – Kebakaran di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya, Selangor di sini pagi tadi melibatkan kebocoran saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Razali Wan Ismail berkata tujuh mangsa, termasuk dua warga tempatan diselamatkan dalam kejadian terbabit.
Beliau berkata seramai 78 anggota bomba dengan 22 aset, termasuk 10 jentera Fire Rescue Tender (FRT), empat unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS), lima unit Water Tanker dan masing-masing satu unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), unit BA Tanker dan unit ALP dikerahkan ke lokasi.
“Berikutan lokasi kejadian berhampiran kawasan perumahan, operasi evakuasi dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Wan Razali berkata setakat ini tujuh mangsa diselamatkan namun jumlah sebenar yang terlibat serta tahap kemerebakan api di kawasan perumahan masih dalam siasatan.
Beliau berkata walaupun pihak Petronas sudah menutup injap saluran paip yang terbakar, lokasi sebenar penutupan masih belum dikenal pasti.
“Kebakaran ini turut menjejaskan beberapa rumah berhampiran, meningkatkan risiko kepada penduduk,” katanya.
Wan Razali berkata operasi pemadaman masih diteruskan dan pihaknya akan memberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri kawasan kejadian dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan. – Bernama