RIYADH, 29 SEPT – Kebakaran meletus hari ini di stesen kereta api berkelajuan tinggi baharu di bandar Jeddah barat Arab Saudi, kata pihak berkuasa, dengan kepulan asap tebal dilihat menjulang ke udara.
Stesen yang didedikasikan kepada sistem Haramain High Speed Rail yang dibuka kepada umum pada Oktober tahun lalu, membawa para penumpang antara Mekah dan Madinah.
“Jabatan Pertahanan Awam memadam kebakaran yang meletus di sebuah stesen di Suleimaniya…tiada kecederaan direkodkan setakat ini,” menurut Jeneral Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Saudi dalam Twitter.
Video yang dimuat naik dalam Twitter oleh kerajaan wilayah Mekah menunjukkan kepulan asap tebal berwarna kelabu menjulang naik dari apa yang dilihat seperti dalam kompleks.
Api meletus pada jam 12:35 tengah hari waktu tempatan, menurut akaun Twitter Haramain High Speed Rail.
Sistem itu berkebolehan untuk mengangkut penumpang sepanjang 450km menerusi pelabuhan Laut Merah Jeddah pada kelajuan kira-kira 300kmsj. Raja Saudi Salman merasmikan landasan itu pada September 2018. Para pegawai menyifatkannya sebagai projek pengangkutan terbesar di rantau itu. – AFP