DIYARBAKIR, 6 JUN – Tiga kanak-kanak dan seorang dewasa maut kelmarin apabila kebakaran berlaku di sebuah blok pangsapuri 13 tingkat di Diyarbakir, bandar utama di tenggara Turkiye yang majoritinya didiami masyarakat Kurdis, menurut pegawai tempatan.
Gabenor Diyarbakir, Murat Zorluoglu berkata kebakaran itu bermula sekitar jam 6:30 petang, sehari sebelum sambutan Aidiladha di Turkiye.
“Seramai 17 mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan, namun malangnya tiga daripada mereka meninggal dunia, dua daripadanya kanak-kanak,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Dia kemudiannya mengemas kini jumlah korban kepada empat orang, dengan memaklumkan bahawa seorang lagi kanak-kanak yang cedera turut meninggal dunia.
Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan penyelamat menggunakan kren bakul untuk membawa keluar mangsa dari bangunan tersebut ketika api marak dari bahagian bumbung. – AFP


