Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran pasar: Lebih 3,000 dipindah

    MOSCOW, 9 Okt – Lebih 3,000 orang terpaksa dipindahkan susulan insiden kebakaran besar-besaran di sebuah bangunan yang menempatkan pusat jualan bahan binaan di wilayah Moscow, membabitkan pengunjung dan pekerja pusat tersebut, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Kementerian Kecemasan Rusia pada Ahad.

    Menurut jabatan wilayah kementerian itu di Moscow, kebakaran bermula di tingkat bawah tanah di pasar Sindika yang terletak di pinggir kota Moscow pada sebelah petang sebelum merebak ke bahagian bumbung bangunan terbabit.

    Agensi Berita Rusia TASS memetik satu sumber di kementerian itu sebagai berkata dalam insiden itu, beberapa buah kereta telah meletup di kawasan parkir bawah tanah bangunan terbabit.

    Kebakaran yang berlaku secara besar-besaran di sebuah bangunan yang menempatkan pusat jualan bahan binaan di wilayah Moscow pada 8 Oktober 2017. Lebih 3,000 orang terpaksa dipindahkan susulan insiden tersebut. – AFP

    Menurut Kementerian Kesihatan wilayah Moscow, dua orang cedera dalam insiden itu dan seorang daripada mereka telah dimasukkan ke hospital.

    Punca kebakaran belum dikenal pasti. Lebih 240 anggota dan 140 jentera dikejarkan ke lokasi kebakaran termasuk helikopter Ka-32. Meskipun struktur bangunan yang terbakar masih terus runtuh, anggota bomba berharap dapat membendung api menjelang pukul 2 hingga 3 pagi waktu Moscow.

    Sehingga kini, keadaan alam sekitar masih dipantau dan sebuah makmal mudah alih sedang menjalankan ujian bagi mengukur tahap bahan-bahan berbahaya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda