Tuesday, March 4, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran: Penduduk sempat selamatkan kucing, hamster

    KOTA KINABALU, 3 MAC – Seorang penduduk sempat menyelamatkan beberapa ekor kucing dan hamster dalam kebakaran di Kampung Cempaka, Likas di sini, Sabtu lepas.

    Alnori Asaat, 27, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata ketika kejadian awal pagi itu, beliau membawa keluar enam ekor hamster dan lima ekor kucing peliharaan penduduk daripada api yang sedang marak.

    “Saya sempat selamatkan enam ekor hamster, lima ekor kucing termasuk seekor kucing saya yang ada saya bawa di sini (pusat pemindahan sementara),” katanya ketika ditemui Bernama di Dewan Serba guna Likas, di sini hari ini. Suri rumah Norpidah Junaidi, 26, bagaimanapun bersedih kerana tidak dapat menyelamatkan kucing peliharaan kesayangannya.

    Katanya, ketika kejadian dia terjaga susulan azan subuh dan terdengar bunyi bising sebelum keluar rumah dan melihat api sudah merebak memusnahkan rumah jiran yang selang sebuah sahaja daripada kediamannya.

    “Kami tidak ingat sudah pasal kucing sebab panik, ingat anak-anak saja, keluar dari rumah, tong gas ada lima biji pun meletup,” katanya yang tinggal bersama 14 ahli keluarganya dalam rumah itu. Dayang Nuraini Burhan, 33, pula berkata dia hanya mampu membawa dokumen diri dan keluar rumah sehelai sepinggang kerana kejadian berlaku sangat cepat. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda