RIYADH, 21 Ogos – Satu kebakaran dilaporkan berlaku di sebuah hotel di Mekah, Arab Saudi hari ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan kepada jemaah haji, menurut pertahanan awam lapor agensi berita China Xinhua.
Jurucakap pertahanan awam, Nayef al-Sharif, berkata semua penghuni hotel seramai 600 orang berjaya dipindahkan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Beliau berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada masalah penghawa dingin di tingkat lapan sebuah hotel di Azaziyah.
Kebanyakan penghuni adalah warga Turki dan Yaman, mereka kemudian dibenarkan kembali semula ke hotel.
Ibadah haji dikerjakan berjuta-juta umat Islam dari seluruh dunia yang bertumpu ke Mekah, tempat kelahiran Nabi Muhammad S.A.W dan tapak paling suci dalam Islam. – Bernama/AFP