Friday, February 28, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran ragut 8 nyawa dalam masa kurang sejam

    MANILA, 28 FEB – Sebuah kediaman tiga tingkat telah musnah dalam kebakaran dalam masa kurang sejam mengorbankan lapan orang pagi kelmarin, menurut pegawai.

    Kebakaran berkenaan turut mencederakan sekurang-kurangnya seorang penduduk dan terjadi di tengah malam ketika orang ramai tidur di kampung San Isidro Galas di pinggir bandar Quezon, kata pegawai.

    Dua daripada yang maut ditemui di tingkat bawah dan mayat enam yang lain ditemui di tingkat dua, di mana kebakaran dijangka bermula, pegawai kanan bomba Rolando Valeña memberitahu The Associated Press.

    Mangsa, Beverly Salvador berumur 33 menceritakan detik cemas ketika dia, suami dan dua anaknya bergegas melarikan diri dari bilik tingkat tiga mereka dengan merangkak keluar dari tingkap kecil di bilik mandi ketika api dan asap tebal merebak dengan cepat melalui tingkat bawah. Mereka mendarat di atas bumbung rumah jiran.

    “Saya membuka pintu kami dan melihat koridor dan tangga untuk turun sudah terbakar, jadi saya meminta suami saya mencari jalan keluar lain,” kata Salvador kepada AP. Dia menambah bahawa dia menangis selepas mengetahui bahawa dua keluarga yang juga sahabat lamanya telah terkorban di tingkat dua.

    Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran yang terjadi pada bangunan yang sebahagian besar binaanya adalah daripada kayu.

    Kebakaran berkenaan juga berlaku hanya dua hari sebelum Filipina melancarkan kempen tahunan bulan Mac untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya kebakaran sebelum bermulanya musim panas yang terik.

    Banyak kebakaran maut di Filipina telah dipersalahkan kerana lemahnya penguatkuasaan peraturan keselamatan, kesesakan dan reka bentuk bangunan yang rosak. – AP

    Bangunan yang rosak akibat kebakaran berkenaan. – AP
    Mangsa kebakaran Beverly Salvador, (kiri) sedang dirawat.  – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda