Kebakaran rumah berjaya dikawal

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Kebakaran di ruang tamu sebuah rumah di kawasan Kampung Tanjung Bunut kelmarin berjaya dipadamkan daripada merebak atas tindakan pantas tiga penghuni rumah terbabit, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, panggilan kejadian kebakaran itu diterima pada pukul 5:06 petang dengan tujuh anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Jerudong yang diketuai oleh Pemangku DSO Saini bin Gapor telah dikejarkan ke tempat kejadian.

Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian telah mendapati kebakaran menjejaskan ruang tamu di tingkat bawah rumah jenis dua tingkat yang didiami oleh enam penghuni dan kesemua penghuni dalam keadaan selamat.

Kenyataan menjelaskan kebakaran berjaya dipadamkan oleh tiga penghuni rumah menggunakan dua biji alat pemadam api jenis karbon dioksida dan air paip melalui hos getah sebelum jentera bomba sampai.

Kerosakan pada ruang tamu sebuah rumah yang disebabkan oleh kejadian kebakaran di kawasan Kampung Tanjung Bunut, baru-baru ini. – Gambar serahan JBP