BANDUNG, INDONESIA, 25 OGOS – Kebakaran selama beberapa hari di tapak pelupusan sampah di wilayah paling ramai penduduk di Indonesia telah diisytiharkan darurat oleh pihak berkuasa tempatan kerana asap tebal dan busuk daripada kebakaran itu melemaskan penduduk berhampiran, kata pegawai-pegawai hari ini.
Kebakaran di tapak pelupusan sampah Sarimukti di wila-yah Jawa Barat di Indonesia – yang menampung bandar Bandung, menempatkan 2.5 juta penduduk – telah membara sejak Selasa lalu.
Sekurang-kurangnya 67 orang yang tinggal berhampiran tapak pelupusan telah disahkan menghidap jangkitan pernafasan ringan dan dua dimasukkan ke hospital akibat kesan kebakaran toksik itu, menurut sebuah klinik kesihatan tempatan.
Guru besar sebuah sekolah menengah Islam enam kilometer dari kebakaran itu berkata, pelajar diarah tinggal di rumah kerana asap.
“Asap agak tebal dan mengganggu aktiviti belajar selain mengancam keselamatan dan kesihatan pelajar,” kata Amin Bunyamin kepada AFP.
“Kami bimbang dengan kesihatan mereka kerana asap dari sampah yang terbakar berbeza. Asapnya mencekik.”
Sekurang-kurangnya 30 buah trak bomba telah bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di tapak seluas 25 hektar itu namun tidak berjaya, dengan pihak berkuasa menyalahkan suhu tinggi dan angin kencang kerana mengekalkannya marak.
Ia memaksa kerajaan tempatan mengisytiharkan darurat selama 21 hari di kawasan itu, kata Pemangku Raja Jawa Barat Hengky Kurniawan kelmarin. – AFP