TAWAU, 6 MAC – Seorang mangsa kebakaran rumah di Kampung Tanjung Batu Laut Logpond di sini hanya mampu melihat rumah pusaka yang didiami sejak kecil musnah dalam kebakaran petang tadi.
Pekerja kilang papan, Farida Amir, 42, berkata dia dan keluarga tidak menyangka diuji kehilangan rumah pusaka serta tinggal sehelai sepinggang menjelang Ramadan.
“Saya tahu ada kebakaran di kampung dari kawan sekerja, selepas itu saya terus telefon anak, dia maklumkan api semakin dekat dengan rumah. Saya bergegas balik ke rumah, sampai sana rumah sudah tiada, terbakar.
“Keluarga semua selamat tetapi barang-barang termasuk dokumen diri semua terbakar. Sama sekali habis sampai hangus. Persiapan untuk Ramadan pun tiada,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Rumah milik Farida antara 45 rumah atas air yang musnah dalam kebakaran di kampung itu kira-kira 2:30 petang tadi. – Bernama
