Jumaat, 21 November 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebakaran tercetus semasa rundingan iklim PBB di Brazil

    BELEM, 21 NOV – Kebakaran meletus di sebuah pejabat semasa rundingan iklim PBB di Brazil kelmarin, memaksa perwakilan yang panik berlari ke pintu keluar dan mengganggu proses rundingan.

    Kru PBB dan keselamatan bergegas dengan alat pemadam api untuk memadamkan kebakaran yang marak dengan cepat menyebabkan bumbung fabrik tapak sidang kemuncak COP30 di Belem itu berlubang ketika asap menyelubungi koridor dan orang ramai menjerit, “Api!”

    Kebakaran itu berjaya dikawal dan tiada kecederaan dilaporkan, kata Menteri Pelancongan Brazil, Celso Sabino. Puncanya tidak diketahui dengan segera tetapi Sabino berkata ia mungkin disebabkan oleh litar pintas atau kerosakan elektrik yang lain.

    Anggota bomba tiba di tempat kejadian ketika asap berkepul-kepul di dalam dan di luar persidangan, yang diadakan di sebuah kompleks yang merangkumi struktur tetap dan khemah besar di bandar di pinggir Amazon, dengan puluhan ribu orang hadir.

    Kebakaran berlaku ketika para menteri sedang sibuk berunding mengenai bahan api fosil, pembiayaan iklim dan langkah perdagangan, dengan baki lagi satu hari dalam persidangan dua minggu itu.

    “Ia pasti akan melambatkan proses kerana ini seperti masa yang genting, apabila kita perlu membuat keputusan bermula minggu lalu,” kata Windyo Laksono, ahli delegasi Indonesia, kepada AFP.“Sebahagian daripada kami masih berunding di dalam bilik tetapi disebabkan oleh kebakaran itu, saya fikir proses itu akan berhenti seketika,” katanya.

    Dua wanita yang bekerja di sebuah pavilion milik sebuah organisasi antarabangsa memberitahu AFP bahawa kemudahan itu telah dipasang pendawaian elektrik sementara.

    Terdapat wayar yang terdedah dan air menitis dari bumbung ke panel elektrik mereka, kata mereka dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, sambil menambah bahawa mereka pernah melaporkan isu-isu tersebut tetapi tiada tindakan susulan.

    Delegasi berkata tiada bunyi dari penggera kebakaran mahupun alat pemercik air tidak berfungsi, namun pemindahan berjaya dijalankan dengan lancar. – AFP

    Imej dari rakaman video menunjukkan kru kecemasan sedang memadamkan kebakaran yang berlaku di dalam tempat Persidangan Perubahan Iklim PBB COP30 di Belem, Brazil, kelmarin. – AFP            
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda