WASHINGTON, 18 OGOS – Kebakaran hutan yang terus merebak di pulau Maui Hawaii telah mengorbankan sekurang-kurangnya 111 nyawa manakala lebih 1,000 masih hilang setakat ini, lapor Sputnik.
“Kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini – angka kematian dan kebakaran hutan yang terus merebak,” Naib Presiden Palang Merah Amerika Brad Kaiserman memberitahu pemberita dalam Kemas Kini Tindak Balas dan Pemulihan Persekutuan, Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA).
Pada Rabu, Gabenor Hawaii Josh Green memberitahu CNN bahawa lebih 1,000 penduduk masih gagal dikesan. Kebanyakan kawasan yang musnah dijilat api masih belum diperiksa sepenuhnya.
“Kami akan memindahkan individu ke hotel selama yang diperlukan sehingga kami mendapatkan tempat tinggal yang baharu. Kami bersedia menyediakan tempat tinggal sekitar tujuh hingga lapan bulan dan ada yang dikekalkan di hotel,” tambah Kaiserman.
Orang ramai tinggal di khemah dan tempat letak kereta sementara menunggu tempat penginapan disediakan untuk mereka, dan program bantuan kewangan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal akan bermula minggu depan, kata pegawai itu.- Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/273771-01-02-1024x683.jpg)