KATHMANDU, 15 SEPT – Perdana Menteri sementara Nepal yang baharu dilantik, Sushila Karki kelmarin menyifatkan kebangkitan rakyat yang digerakkan golongan muda secara tiba-tiba sebagai satu, “revolusi yang menggoncang segalanya,” lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau berkata demikian ketika keadaan kembali tenang di negara Himalaya itu selepas rusuhan yang meragut sekurang-kurangnya 72 nyawa dan mencederakan ribuan orang.
“Saya berasa sangat bingung,” katanya kepada pegawai kanan kerajaan pada mesyuarat yang turut dihadiri media.
“Perkara seperti ini tidak pernah berlaku. Saya tidak tahu ada revolusi yang mampu menggoncang segalanya dalam tempoh 27 jam,” katanya.
Karki berkata pentadbiran kini berdepan cabaran besar, dengan banyak pejabat kerajaan dan dokumen musnah, sambil mengisyaratkan kemungkinan wujud konspirasi di sebalik pembakaran beberapa institusi utama termasuk pejabat perdana menteri dan Mahkamah Agung.
Menurut pegawai, angka korban termasuk 59 penunjuk perasaan, 10 banduan dan tiga anggota keselamatan. Sekurang-kurangnya 191 orang, termasuk 57 anggota polis, masih dirawat di hospital, manakala jumlah kematian dijangka meningkat selepas pihak berkuasa menemukan mayat rentung di lokasi-lokasi seperti pasar raya yang dibakar semasa kekacauan.
Kebangkitan itu tercetus pada Isnin apabila anak muda turun ke jalan raya memprotes rasuah dan larangan media sosial yang dikenakan kerajaan. Dalam beberapa jam, protes itu bertukar menjadi rusuhan, serangan kebakaran dan insiden banduan melarikan diri di seluruh negara.
Kira-kira 13,000 banduan berjaya meloloskan diri selepas penjara diserang, dengan 10 daripadanya terbunuh dalam rusuhan penjara. Kekacauan itu memaksa Perdana Menteri, KP Sharma Oli meletak jawatan pada Selasa.
Selepas beberapa hari rundingan antara Presiden Ram Chandra Paudel, pemimpin protes belia dan tokoh masyarakat sivil, Karki yang berusia 73 tahun dilantik sebagai perdana menteri sementara pada Jumaat, sekali gus menjadi wanita pertama menyandang jawatan itu.
Kerajaan sementara pimpinan Karki berikrar akan mengadakan pilihan raya selewat-lewatnya 5 Mac 2026. Kerajaan turut menjanjikan pampasan kepada setiap keluarga mangsa yang maut serta rawatan percuma untuk mereka yang cedera. – Bernama/dpa


