VALENCIA, 24 OGOS – Barcelona bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Levante yang baru dinaikkan ke La Liga, semalam.
Gol separuh masa pertama oleh Ivan Romero dan Jose Luis Morales memberikan Levante kelebihan mengejut menentang juara bertahan di Valencia, sebelum Pedri dan Ferran Torres menyamakan kedudukan dengan dua jaringan pantas selepas rehat.
Anak buah Hansi Flick dilihat bakal berpuas hati dengan keputusan seri di atas padang yang hampir tenggelam akibat hujan, namun gol sendiri Unai Elgezabal pada masa kecederaan menghadiahkan Barcelona kemenangan kedua berturut-turut untuk membuka musim baharu.
“Mereka benar-benar menyukarkan kami, kami perlu banyak memperbaiki diri,” kata Flick dalam sidang media selepas perlawanan.
Levante mendahului seawal minit ke-15 apabila bola dihantar melintasi kotak penalti Barcelona kepada Romero, yang memperdayakan Pau Cubarsi dengan gerakan bahu sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol baharu, Joan Garcia.

Torres hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-37 selepas menerima hantaran leret pertama Pedri yang bijak, tetapi rembatannya sekadar menggegar palang.
Tidak lama selepas itu, kesilapan Lamine Yamal di tepi kotak Levante hampir dihukum apabila Roger Brugue bersedia melepaskan rembatan, namun Alejandro Balde muncul menyelamatkan keadaan dengan aksi pertahanan cemerlang.
Bagaimanapun, selepas Balde bangkit semula, satu lagi rembatan terkena lengannya dan pengadil, selepas semakan VAR, memutuskan ia penalti. Morales, 38, tidak mensia-siakan peluang dari jarak 12 ela untuk menggandakan kelebihan tuan rumah pada masa tambahan separuh masa pertama.
Empat minit selepas babak kedua bermula, Pedri meledak rembatan jarak jauh dari 25 ela yang terus menerjah penjuru gawang, sekali gus mencetuskan kebangkitan.
Tiga minit kemudian, Torres menebus kesilapan apabila menyempurnakan hantaran sepakan sudut dari jarak dekat untuk menyamakan kedudukan 2-2.
Raphinha hampir meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-83, namun rembatan yang terbias mengenai pertahanan berjaya ditepis cemerlang oleh Pablo Campos.
Namun, nasib Levante tidak kekal lama apabila pada minit ke-91, hantaran silang Yamal dari sebelah kanan tersentuh kepala Elgezabal yang cuba menahan tekanan Torres, tetapi bola meluncur ke gawang sendiri untuk memastikan Barcelona pulang dengan kemenangan penuh dramatik. – AFP

