MOGADISHU – Setiap kali pereka fesyen muda, Hawa Adan Hassan membuat gaun baharu bagi memenuhi permintaan pelanggan berbayar, dia juga semakin hampir untuk merealisasikan impiannya.
“Seluruh kehidupan saya, rekaan fesyen adalah satu impian,” kata pelajar universiti berusia 23 tahun, di mana pada tahun lepas mula menjalankan perniagaan di rumah keluarganya di Hamarweyne, pusat bersejarah ibu kota pantai Somalia, Mogadishu.
Bagi Hawa, ia bermula dengan seni, apabila dia mengetahui dirinya mula meminati hobi melukis baju berbanding lukisan haiwan atau landskap yang disukai oleh kebanyakan rakan-rakannya. Kemudian dia menanam cita-cita untuk menjadikan lakaran pakaian itu satu kenyataan.
Selama beberapa dekad, perang dan pergolakan menyebabkan penduduk biasa Somalia memfokuskan untuk kehidupan sehari-hari, kematian dan juga kelangsungan hidup. Pengeboman oleh pejuang Al-Shabaab masih menguasai Mogadishu sehingga ke hari ini. Kebanyakan kedai pakaian Somalia secara tradisionalnya mengekalkan konsep formula pakaian sangat ringkas, manakala pakaian yang diimport dibuat dengan begitu baik dan sesetengahnya dijual untuk penduduk tempatan. Tetapi Hawa dan yang lain cuba merubah situasi itu dengan mereka pakaian buatan tangan tempatan yang berkualiti khusus untuk pasaran mewah.
Belajar sendiri
Dalam industri yang dianggap baharu itu, Hawa perlu mempelajari beberapa teknik secara bersendirian. “Saya pernah menonton rancangan reka bentuk fesyen di TV dan setiap kali saya melihatnya, saya cuba untuk memahami idea itu dengan melukisnya di atas kertas,” katanya kepada media. Rancangan kegemarannya ialah Project Runway, program realiti yang berasal dari AS dan diasaskan sendiri oleh model terkenal dari Jerman, Heidi Klum.
Dalam studio rumahnya, Hassan melukis dan mereka pakaian baharu seperti abaya dan tudung yang pelbagai warna, pakaian ketat dan longgar serta banyak lagi.
Fesyen juga menjadi urusan utama keluarganya di mana ayah Hawa merupakan seorang tukang jahit manakala kakak perempuannya pula membantu memotong dan menjahit baju. Pelanggan yang berkunjung ke bengkel Hawa akan dapat mendengar anak-anak bermain di bilik-bilik berdekatan dan bau memasak di dapur. Abangnya telah menjadi seorang pelabur, membantu membeli mesin jahit dan beberapa peralatan yang lain. Sekarang perniagaan mereka itu sedang giat beroperasi, katanya.
Seperti kebanyakan penduduk Mogadishu yang berdepan dengan keganasan, Hawa sudah terbiasa untuk mendengar bunyi pengeboman dan tembakan yang sering berlaku di bandar itu serta digambarkan sebagai ketidakselesaan yang boleh mengganggu jadual penghantaran pakaiannya. Muna Mohamed Abdulahi, seorang pereka fesyen yang baharu menanamkan misi untuk menggalakkan penduduk tempatan sentiasa berbangga dengan produk yang dibuat di Somalia.
“Saya suka dengan pakaian yang direka sendiri oleh penduduk Somalia dan ia kelihatan lebih menarik,” kata seorang pelajar berusia 22 tahun, Farhiyo Hassan Abdi. “Kebanyakan pakaian yang diimport tidak sesuai dengan penampilan saya malah harga fesyen tempatan lebih murah daripada import,” tambahnya. – AFP
