YANGON, 1 OKT – Jumlah pesakit yang hilang deria bau merupakan sebahagian besar daripada pesakit bergejala COVID-19 di Myanmar, menurut seorang pegawai kesihatan memberitahu Xinhua hari ini.
Kira-kira 35 peratus jumlah pesakit positif COVID-19 menunjukkan simptom jangkitan manakala yang lainnya adalah tidak bergejala, kata pengarah Bahagian Pencegahan dan Pembasmian Penyakit Berjangkit Jabatan Kesihatan Awam Myanmar, Khin Khin Gyi.
Sejumlah 57 peratus pesakit bergejala hilang deria bau sebagai tanda awal, kata pengarah itu.
Difahamkan pihak berkuasa Myanmar membuat pengaturan untuk mengasingkan kumpulan pesakit positif COVID-19 berasaskan tahap teruk penyakit.
Menurut Khin, “Kami menyiapkan kemudahan untuk mengasingkan pesakit, daripada pesakit yang parah sehingga mereka yang mempunyai gejala ringan seperti batuk dan demam sederhana. Juga pesakit yang hilang deria bau akan diletakkan dalam kemudahan berasingan.”
Menurut anggaran terbaharu pihak berkuasa, 13,377 orang diuji positif semenjak dua kes pertama disahkan yang dilaporkan pada 23 Mac dan angka kematian kini 310 orang. – Xinhua