Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebanyakan rakyat UK tolak dasar tempatkan migran di hotel

    MOSCOW, 25 OGOS – Lebih 70 peratus rakyat United Kingdom (UK) tidak bersetuju dengan dasar Perdana Menteri, Keir Starmer yang menempatkan pencari suaka di hotel, menurut tinjauan YouGov untuk akhbar The Times, lapor Sputnik/RIA Novosti.
     
    Data yang dipetik The Times menunjukkan 71 peratus pengundi Britain percaya Perdana Menteri menangani isu penempatan migran di hotel dengan cara yang salah.
     
    Pandangan itu turut dikongsi 56 peratus penyokong Parti Buruh, parti pimpinan Starmer. 
     
    Lebih satu pertiga pengundi, atau 37 peratus menganggap masalah imigresen sebagai isu paling kritikal bagi Britain.
     
    Pada masa sama, 31 peratus rakyat Britain percaya parti populis sayap kanan Reform UK pimpinan Nigel Farage lebih berupaya menangani isu ini.
     
    Hanya sembilan peratus menaruh keyakinan kepada Parti Buruh dalam hal ini, manakala enam peratus percaya kepada Parti Konservatif.
     
    Tinjauan itu dijalankan dari 20 hingga 21 Ogos melibatkan 2,153 pengundi Britain, tanpa margin ralat dinyatakan.
     
    Pada awal Ogos, majlis bandar raya Epping menyatakan penggunaan The Bell Hotel untuk menempatkan migran tidak sejajar dengan tujuan asal premis berkenaan dan akan berusaha mengisytiharkannya sebagai menyalahi undang-undang. – Bernama
     
    Gambar menunjukkan penunjuk perasaan di luar hotel Sheraton Four Points, di Horley, selatan London pada 23 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda