Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebanyakan tapak warisan dunia berisiko dilanda kemarau, banjir – UNESCO

    PARIS, 1 JULAI – Hampir tiga perempat tapak warisan budaya dan semula jadi dunia kini diancam kekurangan atau lebihan air, menurut Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), hari ini.

    Pakar sains memberi amaran bahawa suhu bumi yang meningkat telah menyebabkan kejadian cuaca ekstrem seperti taufan, kemarau, banjir dan gelombang haba menjadi lebih kerap dan lebih teruk.

    Sebanyak 73 peratus daripada 1,172 tapak warisan dunia bukan marin dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO terdedah kepada sekurang-kurangnya satu risiko air yang serius – termasuk tekanan air, kemarau, banjir sungai atau banjir pesisir, menurut laporan UNESCO.

    “Tekanan air dijangka bertambah buruk, terutama di wilayah seperti Timur Tengah dan Afrika Utara, sebahagian Asia Selatan dan utara China – yang mengancam ekosistem, warisan budaya serta komuniti dan ekonomi pelancongan yang bergantung padanya,” tambah laporan itu.

    Tapak budaya paling kerap terancam oleh kekurangan air, manakala lebih separuh tapak semula jadi pula berdepan risiko banjir dari sungai berdekatan, menurut kajian UNESCO.

    Di India, monumen Taj Mahal di Agra contohnya, ‘menghadapi masalah kekurangan air yang meningkatkan pencemaran sekali gus menyusutkan air bawah tanah, yang kedua-duanya merosakkan struktur makam tersebut,” kata laporan berkenaan.

    Manakala di Amerika Syarikat, ‘pada tahun 2022, satu banjir besar telah menyebabkan seluruh Taman Negara Yellowstone ditutup dan menelan kos pembaikan infrastruktur melebihi AS$20 juta untuk dibuka semula.’ – AFP

    Gambar fail menunjukkan mata air panas Morning Glory di Upper Geyser Basin of Taman Negara Yellowstone di Wyoming. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda