Friday, May 10, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Kebaya cerminan budaya zaman dahulu

    Oleh Yusrin Junaidi –

    Seiring dengan peredaran waktu dan pengaruh luar, pakaian tradisional masyarakat Melayu telah berkembang dari semasa ke semasa sehinggalah menjadi baju Melayu, baju kurung dan busana tradisional lain yang kita kenal pada hari ni.

    Pakaian tradisional masyarakat Melayu mencerminkan keunikan identiti bangsa yang sudah wujud selama ratusan tahun.

    Busana tradisional berkenaan memberikan gambaran yang jelas tentang budaya bangsa seseorang yang hidup di dalam sesebuah kelompok masyarakat sejak turun-temurun.

    Pakaian tradisional masyarakat Melayu juga relevan untuk digayakan bagi majlis rasmi dan sesuai dipakai dalam kehidupan seharian, sebagaimana nenek moyang kita dahulu.

    Tahun 2023 merupakan ulang tahun ke-20 Konvensyen Melindungi Warisan Budaya Tak Ketara, iaitu 20 tahun sejak konvensyen itu diterima pakai pada 17 Oktober 2003, semasa Sidang Umum ke-32 UNESCO. Negara ahli disarankan untuk menyambut ulang tahun ke-20 dengan mengadakan pelbagai kegiatan.

    Awang Mohammad Abdoh ketika ditemu bual semasa Pameran Kebaya yang berlangsung di Hab Tenaga Brunei. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Antara jenis kebaya yang dipamerkan. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Baju kebaya pengantin milik Babu Dayang. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Kebaya Pendek terkenal di kalangan wanita muda. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Yusrin Junaidi

    Sambutan itu merupakan kesempatan bagi Negara Brunei Darussalam bagi mengadakan pameran bertujuan untuk membarigakan kepada orang ramai mengenai pencalonan itu.

    Temu bual

    Pameran Kebaya: Pengetahuan, Kemahiran, Tradisi dan Amalan adalah sebagai pembarigaan terhadap pencalonan kebaya ke UNESCO, pencalonan pertama bagi Negara Brunei Darussalam bersama Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.

    Menurut Setiausaha Bersama Pameran Kebaya dan juga selaku Pemangku Pengarah Kebudayaan dan Kesenian, Awang Mohamad Abdoh bin Haji Awang Damit, menyatakan bahawa keperluan utama adalah untuk mengamalkan warisan budaya yang telah ada di Negara Brunei Darussalam dan memastikan generasi terkini memahami dan boleh mengamalkannya seperti menghidupkan semula warisan budaya baju kebaya.

    Langkah itu merupakan salah satu instrumen antarabangsa yang perlu diiktiraf sebagai khazanah sesebuah negara dalam carta UNESCO bagi tujuan melindungi hak warisan ini.

    Kerjasama itu melibatkan beberapa mesyuarat, bengkel, siri dan sesi perbincangan di antara kementerian selama lebih daripada dua tahun bahkan semasa penularan wabak COVID-19 untuk mengangkat kebaya sebagai warisan budaya tidak ketara.

    Hasil daripada mesyuarat dan perbincangan, negara-negara berkenaan telah bersetuju untuk mencalonkan kebaya dan keputusan pencalonan akan diumumkan pada tahun hadapan.

    Keunikan kebaya di Brunei

    Keunikan kebaya ialah dari segi pembuatannya, sulaman dan sebagainya. Kebaya ialah baju blaus tradisional yang dipakai oleh wanita di Asia Tenggara termasuklah Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand. Kehalusan sulaman, fabrik dan reka bentuk yang anggun telah menjadi simbol ikonik kewanitaan.

    Kebaya juga sering dilengkapi dengan pemakaian emas paun serta kerongsang yang dipadankan dengan pelbagai jenis kain labuh seperti batik, pelikat, tenunan atau songket benang metalik atau emas.

    Pakaian tersebut melambangkan warisan budaya dan identiti wanita Asia Tenggara dan masih terus relevan sebagai pakaian harian atau acara rasmi.

    Kebaya juga dipakai dalam persembahan kesenian dan acara-acara lain. Amalan inilah yang perlu dijaga keasliannya dalam pemakaian kebaya.

    Pencalonan ke UNESCO

    Kebaya dianggap sebagai khazanah budaya yang dihargai. Ia memegang tempat istimewa dalam mewakili kepelbagaian dan perpaduan negara dan budaya Asia Tenggara secara keseluruhan.

    Mengamati dan memelihara kebaya bukan sahaja menghormati masa lalu tetapi juga mengukuhkan identiti budayanya untuk masa depan.

    Pencalonan kebaya ke UNESCO, Negara Brunei Darussalam tidak hanya mempertimbangkan keunikan rekaan kebaya, tetapi lebih kepada nilai-nilai amalan yang diwarisi secara berterusan.

    Ia dianggap sebahagian daripada identiti kita sebagai orang Asia.

    Di Negara Brunei Darussalam telah dikenal pasti memiliki empat jenis kebaya.
    Untuk mengetahuinya, orang ramai adalah dialukan-alukan untuk mengunjungi pameran kebaya yang berlangsung di Hab Tenaga Brunei, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.

    Sokongan terhadap pencalonan multinasional

    Kebaya melambangkan warisan budaya dan identiti masyarakat yang penting di pelbagai negara dan mencerminkan gabungan budaya di Asia Tenggara.

    Kebaya juga telah merentasi dan menghubungkan komuniti-komuniti yang berkongsi pengetahuan dan kemahiran dalam pembuatan dan pemakaiannya. Rekaan, motif dan hiasan iringan baju mencerminkan kekayaan budaya dan identiti pemakainya.

    Pelbagai reka bentuk kebaya Brunei

    Pembuatan kebaya melibatkan kemahiran dan pengetahuan yang diturunkan daripada ibu kepada anak perempuan dan diajarkan secara formal di sekolah dan melalui bengkel.

    Proses itu mencerminkan gabungan budaya di Asia Tenggara yang inklusif, membolehkan sesiapa sahaja untuk mencipta, mereka bentuk dan memakainya. Kebaya Brunei memiliki pelbagai reka bentuk, antaranya Kebaya Panjang, Kebaya Buntak dan banyak lagi.

    Paling menarik perhatian semasa pameran berkenaan ialah baju pengantin Kebaya Panjang yang merupakan sumbangan daripada Allahyarham Haji Ibrahim bin Imam Abdul Ghani dan Allahyarhamah Hajah Haniah binti Haji Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Babu Dayang.

    Baju tersebut dipakai oleh Babu Dayang semasa majlis perkahwinan nya pada tahun 1967.

    Ia dijahit dan direka bentuk sendiri oleh Babu Dayang dengan menggunakan kain songket, dihiasi dengan selendang dan perhiasan perkahwinan seperti gandi, rantai, gelang dan bunga. Baju kebaya dipilih sebagai baju pengantin perempuan berupa lambang keanggunan dan kecantikan bagi menaikkan seri pengantin perempuan.

    Lebih dari itu, Babu Dayang ialah Warisan Lamin anak saudara kepada pemilik Allahyarham Bendahari Haji Ghafar bin Haji Sidi.

    Busana itu dipamerkan sejak tahun 2019 di Lamin Warisan, sebuah destinasi pelancongan terletak di Kampung Tanjong Maya, Daerah Tutong.

    Sebagai warisan budaya, reka bentuk dan pembuatan kebaya telah berkembang dari semasa ke semasa, mengingatkan masyarakat tentang akar budaya mereka di dunia moden.

    Sehubung dengan itu, baju kebaya adalah warisan budaya yang perlu kita lindungi dan ditingkatkan popularitinya di era moden ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Enam terbunuh di Pakistan, dipercayai serangan etnik

    QUETTA, 9 MEI - Enam pekerja asing ditembak mati di barat daya Pakistan, kata polis hari ini, di wilayah di mana pemberontak telah lama...