Gambar AFP
AMPANG, MALAYSIA – Di sebuah butik di Malaysia, sekumpulan kecil tukang jahit asyik tertumpu pada mesin jahit mereka yang berkeletakan, menjahit bunga dan daun yang cerah menjadi kebaya, pakaian tradisional yang dipakai wanita di seluruh Asia Tenggara.
Apa yang membuatkan kebaya istimewa adalah ia dipakai oleh wanita dari semua latar belakang etnik di pelbagai rantau, menurut Lim Yu Lin, yang mengendalikan bersama perniagaan keluarga yang diasaskan oleh neneknya pada 1955.
“Ia bukan sahaja untuk satu budaya,” katanya kepada AFP.
Dalam detik perpaduan, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand telah bersama-sama mencalonkan kebaya dalam senarai warisan budaya tak ketara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dengan keputusan dijangka pada 2024.
Sesuai dengan cuaca tropika yang panas, blaus bersulam kompleks itu biasanya berlengan panjang dan terdiri daripada potongan longgar kepada potongan mengikut susuk badan yang separa jarang.
Sepasang kebaya boleh dijual pada harga serendah AS$7 untuk corak buatan mesin yang ringkas, kepada kira-kira AS$1,200 untuk sehelai jahitan tangan yang lebih rumit.
Simbol negara
Indonesia memilih kebaya berusia berabad-abad sebagai pakaian kebangsaan untuk kaum wanita selepas ia mengisytiharkan kemerdekaan daripada Belanda pada 1945.
Pengarang dan aktivis kemerdekaan, Soerastri Karma Trimurti meraikan asal-usul budaya negara baharu itu dengan mengenakan kebaya pada majlis pengisytiharan tersebut. Beliau kemudiannya menjadi Menteri Buruh pertama negara itu.
Blaus itu kemudiannya dipopularkan oleh pelakon filem Malaysia.
Syarikat penerbangan nasional Singapura, Malaysia dan Indonesia juga menggunakannya sebagai inspirasi untuk pakaian seragam mereka.
Kebaya secara tradisinya dipakai untuk majlis perkahwinan dan acara rasmi, tetapi pakaian tersebut mencatat kemunculan semula dalam kalangan peminat yang memakainya dalam kehidupan seharian.
Di Singapura, Charmaine Neo, 36, berkata dia memakai pakaian itu untuk menghadiri acara keluarga dan ia sesuai untuk wanita dari semua peringkat umur.
“Ia bukan sahaja terhad kepada orang tua. Awda lihat ramai orang muda juga memakai kebaya,” katanya. “Ia kelihatan amat cantik pada tubuh badan.”
Di Indonesia, Telly Nathalia, 49, berkata semasa bercuti bersama rakan-rakan ke wilayah Jawa Tengah, dia memutuskan untuk mula memakai kebaya setiap hari.
Pada pandangannya, itu adalah satu cara untuk berhubung dengan sejarah negaranya.
“Nenek moyang kami yang tinggal di sini memakai kebaya,” katanya.
“Orang ramai akan bertanya, ‘adakah kamu pergi ke pesta atau sesuatu? Majlis perkahwinan?’ Kerana di Indonesia apabila kamu memakai kebaya, mereka akan fikir kamu akan menghadiri acara yang istimewa.”
Budaya kita, identiti kita
Kebaya itu dipercayai berasal dari Timur Tengah dan pernah dipakai oleh lelaki dan wanita.
Lebih 12 gaya telah dibangunkan di seluruh Asia Tenggara, kebanyakannya di Indonesia dan Malaysia.
“Ia adalah satu bentuk pakaian wanita tradisional yang telah berkembang dari semasa ke semasa,” kata Yeo Kirk Siang, pengarah kanan di Lembaga Warisan Kebangsaan Singapura (NHB), yang menganjurkan pameran kebaya pada April berikutan pencalonan UNESCO.
“Terdapat gabungan budaya, pengaruh dan masyarakat berbeza yang menghasilkan kebaya mereka sendiri.”
Oniatta Effendi, seorang pereka fesyen di Singapura yang mencipta pakaian moden daripada blaus tradisional, berkata ia merupakan simbol warisan budaya.
“Ramai di antara kita membesar melihat kebaya dipakai oleh ibu dan nenek kita. Ia mewakili budaya kita, identiti kita,” katanya, menurut kenyataan NHB.
“Kebaya mungkin hadir dengan cara yang berbeza di negara yang berbeza. Kepentingannya kepada setiap orang mungkin juga berbeza, tetapi satu perkara yang pasti adalah kebaya mengumpul kita semua melalui identiti yang dikongsi bersama.” – AFP