WASHINGTON, 13 NOV – Kebebasan internet di Amerika Syarikat dan Jerman mencatatkan penurunan apabila negara-negara demokrasi Barat kini turut menyertai negara autoritarian dalam mengenakan lebih banyak sekatan dalam talian, menurut laporan tahunan oleh Freedom House hari ini.
Kumpulan penyelidikan berpangkalan di Washington yang mempromosikan demokrasi itu berkata kebebasan internet global menurun untuk tahun ke-15 berturut-turut, termasuk di beberapa negara yang masih diklasifikasikan sebagai ‘bebas’.
“Kami mendapati penindasan semakin teruk di negara autoritarian dan yang cenderung ke arah autoritarian, terutamanya kerana kerajaan-kerajaan di negara tersebut melihat sekatan terhadap internet dan kebebasan bersuara dalam talian sebagai cara untuk mengekalkan kuasa,” kata Kian Vesteinsson, pengarang bersama laporan itu.
“Lebih khusus untuk tahun 2025, kami melihat keadaan di negara demokrasi turut merosot,” katanya kepada AFP.
“Malangnya, kami melihat di seluruh Amerika Utara dan Eropah Barat terdapat trend ke arah penutupan ruang sivik di sesetengah negara, manakala di negara lain pula wujud sekatan lebih ketat terhadap individu yang memuat naik kandungan berunsur kebencian atau sensitif,” tambahnya.
Amerika Syarikat memperoleh skor 73 daripada 100 dalam tahap kebebasan internet bagi tahun berakhir Mei 2025, angka terendah yang pernah direkodkan dan menurun tiga mata berbanding tahun sebelumnya. – AFP


