KUALA LUMPUR, 21 OKT – Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil pendekatan tidak membenarkan kebebasan tertentu dinikmati individu yang lengkap divaksin kepada kumpulan antivaksin, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kebebasan yang disekat itu hanya dituju kepada mereka yang enggan menerima vaksin COVID-19.
Beliau berkata terdapat dua kumpulan yang harus dibezakan iaitu mereka yang tidak boleh menerima vaksin disebabkan masalah kesihatan dan mereka yang enggan menerima vaksin.
“Dimaksudkan di sini bukan kita…kerajaan yang menyusahkan mereka (kumpulan antivaksin) tetapi sebenarnya pilihan mereka yang menyusahkan mereka sendiri iaitu mereka tidak mengambil vaksin, enggan menerima vaksin, tidak ingin mendengar hujah saintifik dan akhirnya tidak akan mendapat kebebasan yang sama seperti rakyat dan penduduk yang telah menerima vaksin.
“Kita akan teruskan pendekatan ini dan saya telah galakkan supaya ada sekatan di peringkat sektor maksudnya sektor perkhidmatan awam, swasta dan sebagainya sebelum kita memikirkan langkah yang lebih menyeluruh seperti mewajibkan dari segi undang-undang untuk menerima vaksin,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di sini hari ini.
Justeru, Khairy berharap dengan adanya sekatan kebebasan itu, ia adalah cara lebih berhemah daripada kerajaan meletakkan undang-undang memaksa kumpulan terbabit mengambil vaksin. – Bernama
