Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebenaran keluar masuk 8 negara ditangguhkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Berikutan laporan mengenai varian baharu COVID-19 yang dinamakan varian Omicron, yang dilaporkan pertama kali dikesan di Afrika, Jawatankuasa Pandu COVID-19 memaklumkan bahawa kebenaran kemasukan dan keluar negara bagi lapan buah negara di Afrika iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe ditangguhkan sementara dengan serta-merta sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

    Jawatankuasa Pandu COVID-19 dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa penangguhan kebenaran itu juga dikenakan bagi warganegara asing yang telah diberikan kebenaran awal untuk memasuki Negara Brunei Darussalam dari negara-negara berkenaan melalui penerbangan yang telah dibenarkan sebelum ini, maka kebenaran berkenaan juga ditarik balik.

    Penangguhan kebenaran keluar dan masuk itu adalah sebagai langkah tambahan untuk memberikan ruang kepada pihak kerajaan memantau dan meneliti dengan lebih mendalam mengenai varian baharu berkenaan.

    Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa kemunculan varian-varian baharu memang satu perkara yang biasa dalam evolusi kebanyakan virus termasuk COVID-19. Dengan usaha negara meningkatkan liputan vaksinasi termasuk juga vaksinasi penggalak akan dapat melindungi rakyat dan pendudukan Negara Brunei Darussalam ke arah pemulihan ke Fasa Endemik dengan selamat.

    Oleh itu, marilah sama-sama mendukung hasrat kerajaan supaya semua turut sama-sama memelihara keselamatan dan kesejahteraan awam dengan mematuhi protokol kesihatan dan garis panduan yang telah ditetapkan di mana kerjasama semua pihak setentunya sangat-sangat dihargai.

    “Kita hendaklah terus berdoa dan sama-sama berusaha di samping bertawakal kepada Allah SWT supaya kita dihindari dan terselamat daripada penyakit wabak COVID-19,” tambah kenyataan itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda