SINGAPURA, 2 MEI – Malaysia dan Singapura bersetuju mewujudkan peraturan Keperluan Prosedur dan Kemasukan bagi Lawatan Kecemasan berkaitan Kematian dan Penyakit Kritikal (DCEV) untuk kedua-dua negara, dengan pelaksanaan peraturan rentas sempadan yang ketat.
Menurut kenyataan bersama Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatnya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan, peraturan itu akan dilaksanakan bermula dari 17 Mei.
Persetujuan itu menyediakan kerangka kerja bagi membolehkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara atas sebab-sebab ihsan dan kecemasan.
Perincian mengenai keperluan prosedur dan kemasukan akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa masing-masing negara, yakni Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA), menurutnya.
Hishammuddin kini berada di sini untuk lawatan rasmi dua hari bermula semalam, atas undangan Balakrishnan, di samping sebagai membalas lawatan kerja Balakrishnan ke Malaysia baru-baru ini, dan ia merupakan lawatan rasmi Hishammuddin yang pertama ke Singapura sebagai Menteri Luar Malaysia.
Menurut kenyataan itu walaupun berhadapan dengan cabaran dalam menghadapi pandemik COVID-19, kedua-dua menteri berpuas hati dengan hubungan dua hala dan kerjasama yang kekal kukuh dan mantap, sebagaimana yang dibuktikan menerusi pergerakan barang dagangan yang tidak terjejas antara kedua-dua negara.
Menurutnya kedua-dua menteri mengadakan perbincangan yang konstruktif berhubung peningkatan kerjasama di tengah pandemik, dan kedua-duanya bersetuju ke arah usaha mengembalikan perjalanan rentas sempadan secara beransur dan selamat. – Bernama