KUALA LUMPUR, 2 MAC – Keputusan membenarkan pergerakan rentas negeri sekiranya kes harian COVID-19 turun kepada dua angka tertakluk kepada penilaian risiko Kementerian Kesihatan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata KKM akan membentangkan cadangan yang berkaitan kepada Jawatankuasa Teknikal serta Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kalau kes menurun kepada dua angka pastinya KKM akan menasihati… kalau ada cadangan baharu sama ada nak membenarkan atau sebaliknya bagi rentas negeri akan dibentangkan KKM.
“Kita tunggu (keputusan) dan berdoa supaya kes ini terus menurun hingga dua angka seperti yang disebutkan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah),” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini. – Bernama
