BEIJING, 27 April – China hari ini memuji kedua-dua pemimpin Korea kerana mengadakan sidang kemuncak bersejarah, dengan menyebutkan kedua-dua pemimpin itu yang berjabat tangan di Zon Bebas Tentera yang membahagikan semenanjung itu sebagai ‘peristiwa bersejarah.’
“Kami gembira dengan langkah bersejarah kedua-dua pemimpin Korea itu dan menghargai keputusan politik dan keberanian mereka,” menurut jurucakap kementerian luar Hua Chunying kepada sidang media.
“Kami berharap dan menantikan mereka mengambil kesempatan ini untuk terus membuka haluan baharu bagi kestabilan jangka masa panjang di semenanjung.”
Dia turut memetik satu puisi yang berbunyi: “Kita tetap bersaudara selepas semua masalah; mari kita lupakan dendam lama, tersenyum kita berjumpa lagi.”
China merupakan satu-satunya sekutu utama Korea Utara, akan tetapi negara itu telah menyokong beberapa siri sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menghukum Pyongyang berikutan ujian nuklear dan peluru berpandu negaranya. – AFP