Sunday, March 16, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keberdayaan bangsa dan bahasa empat negara dibincangkan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Siri Kongres Antara-bangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (KABSBM) sempena Bulan Bahasa diteruskan dengan pembentangan ke-17 yang mengupas mengenai ‘Bahasa dan Ideologi Negara: Kajian Bandingan Keberdayaan Bahasa di Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura’.

    Pembentangan kali ini menampilkan pemakalah dari Singapura, iaitu Penyelidik dan Pemerhati Bahasa Singapura, Dr Mohamed Pitchay Gani bin Mohamed Abdul Aziz. Manakala itu, pengerusi kongres ialah Pegawai Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei, Dayang Masni binti Moktal.

    Seramai 134 orang pelayar menghadiri KABSBM secara maya yang terdiri daripada Pemangku Pengarah DBP Brunei, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP Brunei, Hajah Sariani binti Haji Ishak, para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.

    Pembentangan kali ini mengemukakan perbincangan dan dapatan kajian bandingan terhadap keberdayaan bangsa dan bahasa di empat buah negara utama penutur bahasa Melayu/Indonesia, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

    Keberdayaan bahasa ini juga dikolerasikan dengan keadaan bahasa di kawasan tertentu, iaitu penggunaan bahasa yang dipengaruhi oleh persepsi, sikap, dasar, agama dan persekitaran.

    Dapatan kajian yang dihuraikan juga membuktikan bahawa kedudukan bahasa Melayu di Nusantara adalah mantap dan terus digunakan sama ada sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu ataupun bahasa komunikasi luas.

    KABSBM anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa itu diadakan secara maya melalui penstriman platform Facebook DBP Brunei dan aplikasi Zoom.

    Penyelenggaraan KABSBM dengan tema utama ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ itu turut didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).

    Dr Mohamed Pitchay Gani (atas) semasa pembentangannya.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda