Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Program G.I.N.I.S dilaksanakan secara bersepadu melalui kerjasama 10 buah agensi kerajaan iaitu Jabatan Penjara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Perundangan Islam, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Cyber Security Brunei (CSB).
Program itu membolehkan pendekatan yang komprehensif dalam menangani isu-isu sosial dalam kalangan pelajar di peringkat menengah dengan sebanyak 31 buah sekolah menengah telah dilibatkan dalam program berkenaan dengan seramai 3,911 pelajar telah mengikuti program itu pada 2024.

“Program ini menyasarkan pelajar-pelajar Tahun 9, di usia ketika pelajar-pelajar ini menginjak usia remaja dan lebih matang serta berani untuk berfikir sendiri,” jelas Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Salleh ketika menjawab persoalan dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin mengenai keberkesanan Program G.I.N.I.S. semasa Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat Datin menerangkan hasil awal penilaian mendapati lebih daripada 60 peratus pelajar memberikan respons sangat setuju bahawa inisiatif G.I.N.I.S. telah meningkatkan kesedaran mengenai perkara-perkara negatif, mendidik pelajar mengenai nilai murni serta mengurangkan pengaruh negatif yang boleh menjejaskan disiplin dan keselamatan di sekolah.
“Keberkesanan ini akan diteruskan dengan mekanisme penilaian berterusan untuk penambahbaikan pada masa akan datang.”
Manakala itu, menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman mengenai peranan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dalam menangani isu buli, Yang Berhormat Datin berkata melalui program keibubapaan 2024 sahaja, Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan telah mengadakan Sesi Sosialisasi PIBG pada 8 hingga 17 Januari 2024 bagi sekolah-sekolah seluruh negara.
Kehadiran sekolah-sekolah semasa sesi sosialisasi berkenaan, jelasnya, adalah sebanyak 83.66 peratus dan agenda semasa sesi berkenaan ialah pembarigaan semula Akta Pendidikan (Penggal 210) Peraturan-peraturan Pendidikan (PIBG), peranan dan tanggungjawab ahli PIBG selari dengan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2023-2027, pembarigaan program-program anti-buli iaitu Program B.E.S.T (Bantu, Empati, Sayangi, Tanggungjawab), Kementerian Pendidikan serta penerangan mengenai Program Pendidikan Kemahiran Keibubapaan.
Selain itu, latihan dalaman mengenai jenis-jenis buli turut diadakan dengan mengundang beberapa agensi yang berkaitan seperti PPDB, CSB, Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA).
Yang Berhormat Datin turut mendedahkan hasil dapatan tahap keaktifan kumpulan PIBG pada 2024 ialah sebanyak 81 peratus.
Beliau menyatakan Kementerian Pendidikan akan terus menyediakan platform komunikasi yang lebih berkesan untuk memastikan kerjasama yang lebih erat supaya PIBG dapat terus menyokong usaha mencegah serta menangani isu buli bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat.