Saturday, April 19, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebersihan alam sekitar tanggungjawab semua

    Oleh Daniel Lim

    Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menambah kesedaran mengenai kepentingan mengekalkan dan menjaga kebersihan alam sekitar, satu ceramah kesedaran alam sekitar telah diadakan untuk pelajar-pelajar Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SR PSB SOAS) yang berlangsung di salah sebuah bilik darjah baru-baru ini.

    Divisyen Penguatkuasaan Pejabat Daerah Belait (JDB) dan Green Depot, sebuah pusat kitar semula yang berpangkalan di Daerah Belait menganjurkan ceramah bertujuan untuk menyebar maklumat berhubung pembuangan sampah yang tidak bertanggungjawab dan menyentuh pelbagai kaedah membuang sampah dengan betul, menerusi pengurangan, penggunaan semula serta kitar semula yang boleh memberikan kesan positif kepada alam sekitar.

    Ceramah, yang dihadiri oleh para pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah, telah disampaikan oleh Pegawai Pelesenan di JDB, Awang Muhd Abdul Basit bin Raduan; Pegawai Luar di JDB, Awang Mohammad Erwan bin Omar dan Pegawai Projek Green Depot, Dayang Fathin Khairunnisa binti Mat Japar yang membincangkan topik-topik berkaitan kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.

    Ceramah seumpamanya sebelum ini telah diadakan di SR Sungai Teraban dan SR Kuala Belait.

    Pejabat Daerah Belait dan Green Depot merancang mengadakan ceramah yang sama di sekolah rendah dan menengah lain di Daerah Belait untuk membantu memupuk tabiat yang betul dalam menjaga alam sekitar pada usia awal lagi.

    Pelajar-pelajar juga mengambil bahagian dalam beberapa kuiz yang disediakan untuk menguji pemahaman mereka dan hadiah-hadiah menarik diberikan kepada mereka yang berjaya menjawab dengan betul.

    Ceramah yang dianjurkan untuk pelajar Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien. – Gambar oleh JDB dan Green Depot
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda