Oleh Nurdiyanah R. –
Alam sekitar merupakan ciptaan Ilahi yang begitu berharga bukan hanya dalam kehidupan manusia bahkan juga pelbagai jenis haiwan dan hidupan meliputi daratan dan lautan.
Pastinya alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita suasana yang selesa dan menenangkan. Persekitaran yang bersih membolehkan kita menghirup udara yang segar.
Kawasan yang segar dan bersih lazimnya dipenuhi dengan tumbuhan menghijau.
Tumbuh-tumbuhan membebaskan oksigen ke udara dan membolehkan badan kita mendapat bekalan oksigen secukupnya.
Oleh yang demikian, bagi menangani ancaman pencemaran darat, laut dan udara, adalah menjadi kewajipan setiap individu untuk memahami, menghargai dan menyumbang kepada persekitaran bersih dan sihat.
Dari hari ke hari, pelbagai lapisan masyarakat di negara ini tidak kira pihak kerajaan, NGO dan syarikat swasta dilihat semakin bergerak aktif dan progresif bagi menyemai rasa tanggungjawab dan cintakan alam sekitar yang bersih.
INISIATIF MURNI MENERUSI AL-QUDWAH BEACH CLEAN UP 2.0
Sehubungan itu, ke arah matlamat murni untuk terus menyemai dan mengamalkan sikap menjaga kebersihan alam sekitar bersama bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing, Unit Dakwah dan Keagamaan dan Unit Kemasyarakatan Kumpulan Al-Qudwah di bawah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menganjurkan satu program khidmat masyarakat menerusi Kempen Kebersihan: Al-Qudwah Beach Clean Up 2.0 di sekitar Pantai Jerudong, baru-baru ini.
Program yang mengambil masa selama tiga jam itu melibatkan kesungguhan semangat seramai 27 orang sukarelawan terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UNISSA sehingga berjaya mengumpulkan 15 bungkusan plastik sampah sepanjang kempen dilaksanakan.
Menurut Pengerusi Kumpulan Al-Qudwah, UNISSA bagi Sesi 2023/2024, Awang Abdul Qawiyul Quddus bin Muhammad berkata matlamat utama program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif ahli jawatankuasa kumpulan tersebut demi menggalakkan para sukarelawan Kumpulan Al-Qudwah untuk menyumbangkan usaha dan tenaga dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 iaitu SDG 15 Kehidupan di Darat dan SDG 14 Kehidupan di Bawah Air.
“Dengan adanya program ini, ahli jawatankuasa dan para sukarelawan berpeluang untuk bekerjasama dalam membersihkan kawasan pesisiran Pantai Jerudong. Selain itu, program ini dapat menerapkan kesedaran mengenai pentingnya memelihara keindahan pantai, mengurangkan pencemaran dan mengurangkan jumlah sampah sarap yang hanyut ke lautan,” tambahnya.
Di samping itu, Awang Abdul Qawiyul Quddus turut menaruh harapan untuk menyuntik kesedaran kepada semua lapisan masyarakat supaya menjadi lebih prihatin, peka dan memeduli keadaan alam sekitar yang terjejas akibat perilaku individu yang kurang bertanggungjawab dalam sama-sama mengekalkan kebersihan alam sekitar di negara ini.
“Satu perkara yang perlu kita ketahui bahawa kebersihan kawasan pantai perlulah dijaga supaya dapat memberi keselesaan kepada para pengunjung dan penjaja di samping dapat memelihara khazanah alam semula jadi.
“Pastinya kami akan meneruskan program-program seumpama ini pada masa akan datang demi sama-sama mengekalkan kesejahteraan dan kebersihan Negara Brunei Darussalam daripada sebarang pencemaran dan kekotoran,” ujarnya penuh harapan.
LANGKAH MENJAGA ALAM SEKITAR
Oleh yang demikian, penulis ingin mengutarakan pandangan bahawa dalam usaha kita bersama untuk mengembalikan kesegaran alam sekitar, beberapa langkah menjaga alam sekitar perlulah diambil.
Salah satunya melalui pendedahan media massa termasuklah menerusi televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan akhbar.
Kini, media massa memainkan peranan penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna.
Media massa perlulah lebih banyak memberikan maklumat tentang isu-isu pencemaran alam sekitar, terutamanya dalam siaran-siaran di televisyen.
Hal ini kerana televisyen adalah salah satu barangan elektronik yang hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau individu di setiap pelosok dunia.
Begitu juga akhbar dan majalah sebagai media yang banyak mendedahkan tentang isu pencemaran alam sekitar.
Dari semasa ke semasa, setiap individu perlu mengetahui tentang keadaan alam sekitar yang semakin tercemar dan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka untuk menjaga alam sekitar.
Seiring dengan peredaran zaman, pihak-pihak berkepentingan sepatutnya perlu mendedahkan isu-isu pencemaran ini dengan lebih meluas di jaringan-jaringan Internet kerana masyarakat kini lebih banyak menggunakan media tersebut berbanding media konvensional.
Selain itu, antara langkah untuk menjaga alam sekitar ialah dengan mengadakan
kempen alam sekitar seperti kempen membersihkan pantai, kempen kitar semula dan sebagainya.
Namun realitinya, tanpa kita sedari, penggunaan barangan plastik termasuk beg, straw, pembungkus, pinggan mangkuk, botol dan sebagainya secara berlebihan tanpa dikawal telah menyebabkan berlakunya pencemaran sisa plastik sehingga mencetuskan pelbagai kesan negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.
Oleh yang demikian, dengan adanya kempen kitar semula, ia dapat menggalakkan para pengguna agar memanfaatkan semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula.
Dengan itu, masyarakat akan dapat berjimat cermat dan dapat mengurangkan pencemaran.
Dalam kempen alam sekitar ini juga, aktiviti-aktiviti seperti penanaman pokok-pokok bunga dan membersihkan kawasan-kawasan yang kotor boleh dijalankan.
Penanaman pokok bunga bukan sahaja dapat mencantikkan alam sekitar tetapi dapat mengembalikan semula kehijauan sesuatu tempat serta dapat membuktikan betapa pentingnya hidupan hijau di bumi ini.
Menerusi kempen-kempen yang dilaksanakan secara berterusan ini, seluruh masyarakat amnya tanpa mengira usia akan dapat menikmati persekitaran yang bersih dan menghijau.