Oleh Nurdiyanah R. –
Apabila menyentuh mengenai budaya gotong-royong atau acap kali disebut di bibir masyarakat Brunei sebagai memuncang-muncang, ia merupakan satu amalan yang mulia, lebih-lebih lagi dalam mengungkayahkan aktiviti berkebajikan.
Amalan saling tolong-menolong sesama sendiri sama ada sumbangan dalam bentuk tenaga, wang, idea dan sebagainya, sememangnya dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga serta rakan-rakan.
Aktiviti seumpama itu sudah sememangnya menjadi warisan budaya yang diamalkan sejak dari zaman nenek moyang kita lagi yang diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya dalam kalangan masyarakat Melayu khasnya di negara ini.
Sekampung ‘turun padang’
Sehubungan itu dalam usaha mengamalkan konsep memuncang-muncang itu dan meningkatkan kesedaran bersama untuk menjaga alam sekitar di negara ini khususnya dalam misi memperindahkan suasana kampung halaman, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tanjong Maya dan Lubok Pulau, Daerah Tutong telah mengungkayahkan program gotong-royong kebersihan selama lima hari, baru-baru ini.
Berkesempatan ditemui Media Permata, Ketua Kampung Tanjong Maya dan Lubok Pulau, Awang Nur Azmil bin Haji Ismail terlebih dahulu merakamkan kesyukuran yang tidak terhingga di mana program berkenaan telah dijayakan oleh para penduduk Tanjong Maya dan Lubok Pulau tidak kira sama ada daripada golongan belia mahu pun veteran.
Tidak ketinggalan juga sokongan padu daripada agensi-agensi kerajaan di Daerah Tutong yang turut terlibat sama dalam menjayakan program tersebut iaitu Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan; Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri; di samping ahli-ahli pengawasan kejiranan (PK) dan ahli jawatankuasa takmir masjid bagi kedua-dua buah kampung yang terlibat.
“Inilah usaha yang perlu kita sentiasa semai dalam kehidupan semua lapisan masyarakat pada masa ini demi menghidupkan budaya bersatu padu lebih-lebih lagi dalam memupuk rasa kekitaan, semangat berdikari dan terus menyumbang kembali bakti kepada kerajaan, dan bukanlah hanya mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata,” ujar Awang Nur Azmil.
Jelas beliau lagi, program kebersihan berkenaan juga diadakan bagi menyemarakkan lagi bulan Zulhijah dan juga Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 Tahun, yang dijalankan di beberapa buah lokasi yang diselubungi dengan semak yang tebal, rumput panjang, pepohon tumbuh liar mahu pun yang hampir tumbang.
Selain dari itu, golongan yang terlibat turut memanfaatkan masa mereka dengan membersihkan kawasan-kawasan setempat seperti balai raya, dewan kemasyarakatan dan masjid di daerah berkenaan.
Tambahan pula, komitmen daripada pihak-pihak sekolah antaranya Sekolah Menengah Tanjong Maya, Sekolah Ugama Tanjong Maya, Sekolah Rendah Abd Rashid Tanjong Maya, Sekolah Rendah Lubok Pulau dan juga Sekolah Ugama Lubok Pulau turut banyak membantu dalam sama-sama bersatu mengungkayahkan aktiviti kebersihan di kawasan dalaman dan luaran sekolah masing-masing di sepanjang program tersebut dijalankan.
Menerusi kerjasama sesama masyarakat ini, ia dapat mengukuhkan prinsip Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu yang mengamalkan sistem beraja dan bersendikan ajaran agama Islam di bawah tampuk pemerintahan seorang raja yang berbangsa Melayu yang memayungi rakyat yang bersatu padu, berintegriti sekali gus mengamalkan nilai-nilai luhur, adat resam dan kebudayaan Melayu Brunei sebagai nilai luhur budaya yang dominan dalam hidup bermasyarakat, berbudaya, berbangsa dan beragama.
Nilai-nilai luhur tersebut antaranya adalah sikap berawar galat, hormat-menghormati, sayang-menyayangi, sikap bertolak ansur dan saling bergotong-royong antara satu sama yang lain.
Justeru, seyogialah kita dalam hidup bermasyarakat di negara ini mengamalkan sikap bermuncang-muncang dalam diri agar segala kerja yang berat akan menjadi lebih ringan ibarat kata pepatah ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.’
Syukuri nikmat Ilahi
Dalam pada itu, Awang Nur Azmil turut menaruh harapan agar semua pihak tidak kira daripada pelbagai peringkat usia agar terus mengeratkan kehidupan masyarakat setempat dengan mengungkayahkan pelbagai kegiatan bermanfaat secara holistik sama ada di kawasan kejiranan kampung mahu pun di kawasan bandar dalam sama-sama melahirkan kehidupan seperti aur dengan tebing.
“Bersatulah kita terus untuk memainkan peranan bersama menjaga keselamatan dan kesejahteraan sambil memperindahkan kawasan kampung, ia juga secara tidak langsung dapat meningkatkan kesihatan ke arah warga sihat.
“Begitu penting kita sebagai hamba Allah untuk sentiasa mensyukuri nikmat-Nya dengan melindungi alam sekitar dari semasa ke semasa,” ujarnya di akhir pertemuan, baru-baru ini.