Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Melihat akan pentingnya kebersihan, Islam amat menitikberatkan kebersihan rohani dan jasmani, di mana kebersihan merupakan faktor utama sebelum melakukan sebarang pekerjaan khasnya sebelum melakukan ibadat kepada Allah.
Ia antara syarat dalam ibadat khusus sebagai contoh sebelum menunaikan sembahyang di samping diwajibkan berwuduk terlebih dahulu dan sebelum menunaikan solat hendaklah memastikan tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang dalam keadaan bersih dan suci.
Perkara ini ditegaskan oleh khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk Kebersihan Lambang Keimanan dan seterusnya menambah, Allah amat suka orang yang sentiasa dalam keadaan bersih.
Setiap amalan baik dari segi rohani dan jasmani adalah disukai Allah, mengamalkan kebersihan dalam semua perkara yang melibatkan diri sendiri, keluarga, masyarakat, persekitaran dan negara adalah sangat perlu ditekankan dengan mengamalkan kebersihan.
“Ia boleh mendatangkan suasana yang selesa, nyaman, tenang, kesihatan yang baik dan mencapai kesejahteraan sehingga membolehkan kita lebih ceria dan sihat dari segi fizikal dan mental,” tambahnya.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P2-1A-unsplash_15022025.jpg)
Agama Islam adalah agama sempurna dalam semua aspek kehidupan termasuk juga dalam soal kebersihan, di mana kebersihan menurut Islam bukan sekadar menjaga budaya dalam kehidupan dan kemajuan, tetapi ianya juga melambangkan tanda keimanan dan kesempurnaan dalam melaksanakan ibadah kepada Allah.
Khatib seterusnya menegaskan, terdapat segelintir masyarakat yang belum benar-benar menghayati tuntutan menjaga kebersihan sama ada kebersihan diri atau kebersihan tempat atau persekitaran.
Amalan membuang sampah yang tidak sepatutnya, tegas khatib, umpama perbuatan yang dilarang dan mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab.
Selain itu, mengabaikan amalan kebersihan akan menyebabkan tersebar pelbagai penyakit, pencemaran, keracunan makanan dan menyumbang kepada suasana alam sekitar yang tidak sihat.
Islam meletakkan menjaga kebersihan merupakan tanggungjawab bersama yang patut diamalkan oleh setiap orang Islam yang beriman.
Selain kebersihan jasmani dan persekitaran, kebersihan rohani juga memainkan peranan penting, pengabdian diri kepada Allah dengan membersihkan diri daripada menyekutukan dan segala perkara yang boleh membawa kepada bahaya dan dosa.
Ini kerana, tegasnya, dengan kebersihan rohani akan dapat mendidik hati dan jiwa menjadi bersih, dan apabila hati bersih, kita akan menjadi manusia yang berakhlak mulia dan berkeperibadian terpuji.
Islam telah mengajar untuk sentiasa dan terus berdoa agar selalu istiqamah dalam keadaan bersih secara rohani dan jasmani ketika beribadat mahupun dalam kehidupan sehari-hari.
Khatib turut menekankan, agama Islam mengajarkan kebersihan merangkumi kebersihan dan kesucian rumah dan perkarangan, badan, pakaian, makanan, roh dan hati.
Menurutnya, memelihara kebersihan boleh mendatangkan pahala dan menjadikan sah atau diterima ibadatnya oleh Allah, tetapi jika sebaliknya mengabaikan kebersihan boleh mengakibatkan dosa dan seksaan di akhirat serta tidak diterima ibadatnya oleh Allah.
Sehubungan itu, katanya, perintah memelihara kebersihan dalam kehidupan adalah untuk kebaikan dan keselamatan manusia itu sendiri dan sebagai syarat yang mustahak untuk melakukan ketaatan kepada Allah.
“Orang yang taat tentu beroleh pahala, sementara yang melanggar perintah Allah akan mendapat dosa dan kemurkaan,” tegasnya.