Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kebersihan Lebuh Raya Pan Borneo tanggungjawab semua pihak – Nanta

    BINTULU, 18 OGOS – Menjaga kebersihan di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau agensi penguatkuasaan tetapi menjadi tanggungjawab semua pihak yang menggunakannya, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Beliau berkata lebuh raya itu aset negara bernilai berbilion ringgit dan menjadi nadi pembangunan Sarawak. “Amat menyedihkan apabila melihat di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo, khususnya di kawasan P-Turn (pusingan P) dan jejantas, sampah dibuang merata-rata. Ia bukan sahaja menyakitkan mata tetapi menjejaskan imej rakyat dan negeri Sarawak secara keseluruhannya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Kesedaran Menjaga Kebersihan di Pusingan P LPB Bintulu-Miri, hari ini.

    Nanta berkata tiada keperluan untuk mengadakan undang-undang baharu mengenai kebersihan kerana pihak berkuasa tempatan seperti Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) sudah mempunyai peraturan berkaitan pembuangan sampah yang boleh digunakan untuk penguatkuasaan.

    Beliau berkata disiplin diri dalam kalangan masyarakat adalah lebih penting daripada meletakkan pegawai penguat kuasa di sepanjang LPB bagi memastikan kebersihan terjaga.

    “Kita mahu media menyebarkan mesej ini secara positif. Awda juga ada tanggungjawab untuk meyakinkan masyarakat supaya memainkan peranan menjaga kebersihan. Kesedaran sivik ialah kunci,” katanya.

    Selain penguatkuasaan, kerajaan juga akan menambah kemudahan dengan meletakkan tong sampah di lokasi tertentu bagi memudahkan pengguna lebuh raya membuang sampah. Pada program Jaga Pan Borneo Bait-Bait yang dihadiri lebih 200 penduduk itu, Nanta turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati, tidak menyalahgunakan pusingan P serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan. – Bernama

    Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak bernilai berbilion ringgit dan menjadi nadi pembangunan Sarawak. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda